Sabtu, 15 Ogos 2009

Hukuman kes juvana perlu bangkit kesedaran

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendekatan berkesan perlu difikirkan untuk membendung gejala disiplin dan kegiatan berunsur jenayah di kalangan remaja dan pelajar berbanding menghukum semata-mata.

Beliau berkata, pada era maklumat terkini, kaedah menghukum tanpa diiringi usaha membangkitkan kesedaran mengenai kesan negatif kegiatan jenayah tidak memadai.

“Generasi muda hari ini yang lebih banyak terdedah kepada maklumat sama ada alam siber mahupun di kalangan rakan sebaya, memerlukan kesedaran tinggi dan kekuatan jiwa untuk memilih laluan hidup bebas jenayah," katanya ketika melancarkan Bulan Pencegahan Jenayah Peringkat Kebangsaan 2009, di sini semalam.

Muhyiddin berkata komunikasi berkesan antara guru, ibu bapa dan anak dalam mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan mereka memilih gaya hidup bebas jenayah adalah kunci kepada kejayaan usaha itu pada masa depan.

Pada masa sama, beliau meminta ibu bapa dan sekolah memberikan perhatian terhadap gejala ponteng dan gengsterisme di kalangan pelajar walaupun ia belum serius.

Katanya, masalah disiplin boleh membawa kepada kegiatan berunsur jenayah yang lebih serius seperti penagihan dadah, ragut dan pelbagai bentuk jenayah jalanan lain.

"Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran menggerakkan pasukan petugas antiponteng peringkat daerah yang terdiri daripada pegawai pelajaran daerah, pihak berkuasa tempatan, persatuan ibu bapa dan guru serta agensi setempat untuk membanteras gejala ponteng," katanya.

Beliau berkata 52 daerah sudah menggerakkan program antiponteng dan 942 murid dikesan terbabit dalam kegiatan ponteng sekolah pada tahun lalu.

0 ulasan: