Oleh SOPI SAMAILE
SAMARAHAN - Meskipun menderita penyakit barah otak, ia tidak menghalang Muhamad Nazri Abu Zarim, 25, untuk menghabiskan pengajian dan seterusnya menerima segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini hari ini.
Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Kepujian (Kajian Perancangan dan Pengurusan Pembangunan) itu menyifatkan ijazah tersebut sebagai anugerah yang tidak ternilai dalam hidupnya selepas disahkan mengalami penyakit ketumbuhan di pangkal otak pada semester akhir.
Pelajar kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu merupakan antara 1,792 graduan Unimas yang menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen ke-13 tahun ini.
''Saya berasa begitu gembira dan terharu dapat menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial hari ini, walaupun saya mengalami serangan penyakit ketumbuhan di otak," katanya kepada pemberita selepas penganugerahan ijazah pada sidang pertama di sini hari ini.
Ijazah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak yang juga Canselor Unimas, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
Muhamad Nazri berkata, meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran besar menghadapi penyakit itu namun dia menguatkan semangat untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Katanya, ijazah tersebut dianggapnya sebagai pembakar semangat untuk dia terus berjuang mencapai cita-cita.
Sementara itu, bapanya, Abu Zarim Umar, 57, dan ibunya, Zaharah Hassan Basri, 56, turut berkongsi kegembiraan melihat kejayaan Muhamad Nazri dan mereka menemani anaknya berkerusi roda menerima ijazah tersebut.
''Saya cukup gembira melihat anak saya berjaya menerima ijazah hari ini walaupun dia mengalami penyakit barah di pangkal otak,'' katanya.
Dalam pada itu, penerima Anugerah Pendidikan Diraja, Kiky Kirina Abdillah, 23, turut melahirkan rasa gembira apabila menerima anugerah tertinggi di universiti itu.
Kiky Kirina merupakan seorang graduan dari program Kajian Perancangan dan Pengurusan Pembangunan, Fakulti Sains Sosial juga telah merangkul anugerah kepujian dekan sepanjang enam semester.
Pada konvokesyen itu, seramai 110 graduan menerima ijazah sarjana serta kedoktoran manakala 1,682 orang menerima ijazah sarjana muda.
PAS khuatir kempen PRU-13 dicemari keganasan
5 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan