Isnin, 17 Ogos 2009

Rakyat Lebih Yakin Pentadbiran Pakatan Rakyat: Khalid

TV SELANGOR


Sekiranya rakyat memilih pemimpin yang bijak, berwibawa dan bertanggungjawab, tidak ada agenda pro-rakyat yang mustahil dilaksanakan, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam siri lawatannya ke Mentakab semalam bersama-sama Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, tokoh ekonomi Melayu itu berkata, setahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, Selangor telah melangkah jauh menuju perkembangan positif, berbanding 50 tahun di bawah UMNO-BN.

Bercakap kepada 2,000 penduduk setempat yang hadir, Tan Sri Khalid berkata, kerajaan negeri Selangor merumuskan struktur ekonomi mapan yang mendahulukan keselesaan rakyat dengan program bekalan air 20 meter padu percuma, kenaikan gaji, bantuan awal pengajian tinggi serta bantuan warga emas.

"Jadi ini tidak ada. Bukan satu keganjilan untuk kita dapat mengambil alih sesuatu negeri sebab di negeri Selangor kita telah ditunjukkan, bagaimana kita dapat memerintah dengan lebih baik di negeri Selangor, berbanding 50 tahun dulu."

Khalid menambah, walau apa pun yang cuba dilakukan oleh UMNO-Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kerajaan negeri kekal utuh kerana rakyat yakin dengan kematangan Pakatan Rakyat.

Ia berikutan sisatan secara menyeluruh yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertindak mencari salah kerajaan negeri Selangor sehingga salah seorang saksi mereka telah ditemui mati.

"Di negeri Selangor kita tidak takut, sebab kita ini buat benda yang betul," tambah beliau.

Malah Abdul Khalid juga berkata, Pakatan Rakyat sedia membongkar lebih banyak penyelewengan dan rahsia besar UMNO-BN yang cuba ditutup pimpinan itu dari mata rakyat.

"Kita tak payah takutlah. Kita ada banyak peluang, lagi kita menang kita akan buka rahsia dia. Itu sebab dia takut sangat kalau buka rahsia dia ini," katanya.

0 ulasan: