SINAR HARIAN ONLINE
AMPANG – Orang ramai diminta berhati-hati dengan seorang lelaki tempatan yang menawarkan perkhidmatan menjadi orang tengah dalam pengurusan pengambilan pekerja asing warga Bangladesh di sekitar ibu negara.
Lelaki yang dikenal sebagai Saad itu sebenarnya seorang penipu kerana dia mengambil kesempatan atas kelicikannya memperdaya banyak syarikat pembinaan khasnya milik Bumiputera.
Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat pembinaan bumiputera yang hanya dikenal sebagai Aini (bukan nama sebenar) mendakwa, dia telah tertipu dengan tindakan licik Saad.
Aini berkata, dia bertemu Saad ketika sedang berurusan di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya akhir tahun lalu.
“Pada dasarnya dia (Saad) seorang lelaki yang agak berumur dan menunjukkan sikap profesional selain mendakwa dia telah banyak menguruskan pengambilan pekerja asing.
“Beberapa bulan selepas itu dia datang ke pejabat saya dengan menunjukkan pelbagai dokumen berkaitan pengambilan pekerja asing, kebetulan ketika itu syarikat kami memerlukan ramai pekerja untuk berkhidmat di tapak pembinaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya semalam.
Menurutnya, Saad turut memiliki sebuah syarikat yang beribu pejabat di Damansara Damai dan mereka menguruskan pengambilan warga asing.
Katanya, dia juga telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM15,000 untuk urusan pengambilan pekerja asing.
“Kemudian, saya membuat beberapa pembayaran bagi uru-san susulan kepadanya melalui cek berjumlah RM10,770 untuk pengambilan 117 pekerja Bangladesh.
“Selepas itu, saya menerima sebuah dokumen kelulusan daripada Jabatan Imigresen, bagaimanapun ia telah tamat tempoh,” katanya.
Katanya, Saad telah dimaklumkan berhubung dokumen itu dan dua hari kemudian dia datang semula ke pejabatnya dengan membawa dokumen baru.
Bagaimanapun, Aini terus menghubungi Jabatan Imigresen yang kemudiannya mengesahkan ia adalah palsu dan cuba menghubungi Saad kembali.
“Dia berjanji mahu memulangkan semua duit syarikat, bagaimanapun sehingga hari ini (semalam) dia tidak memulangkan duit yang dijanjikan.
“Menyedari ditipu, saya telah membuat laporan polis kerana dia enggan menjawab panggilan yang saya buat dan tidak memulangkan wang,” katanya.
Difahamkan, bukan Aini seorang sahaja mangsa, malah banyak lagi syarikat pembinaan telah tertipu dengan kelicikan Saad dan kes ini turut telah dipanjangkan kepada Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kedutaan Bangladesh.
Aini berkata, sekiranya Saad memulangkan kesemua duit yang diambil daripada syarikatnya dia bersedia menarik balik laporan polis.
Berikutan itu, dia menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ejen tempatan yang menawarkan perkhidma-tan sebagai orang tengah untuk mengambil pekerja asing.
PAS khuatir kempen PRU-13 dicemari keganasan
5 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan