Jumaat, 14 Ogos 2009

Suhakam mulakan siasatan isu 5 peguam ditahan polis

MALAYSIA KINI


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulakan siasatan awam pagi ini terhadap penahanan lima peguam di luar balai polis Brickfields pada malam 7 Mei lalu.

Suruhanjaya melantik panel tiga anggota pesuruhjaya, yang dipengerusikan oleh Datuk Muhammad Shafee Abdullah, yang juga seorang peguam kanan, untuk mengendalikan siasatan terbuka tersebut.

Dua lagi anggota panel tersebut ialah Datuk Dr Michael Yeoh dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Keterangan pertama diberikan oleh Ginie Lim, aktivis PKR, yang bertugas sebagai ketua pegawai perhubungan awam kerajaan Selangor.

Siasatan awam itu bertujuan memeriksa sama ada tindakan polis itu cuba menghalang khidmat guaman kepada sekumpulan aktivis yang membantah krisis politik Perak dan, oleh itu, mencabuli Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 28 Kanun Acara Jenayah.

Ia juga bertujuan memeriksa sama ada wujud kewajaran untuk menahan lima peguam itu bawah Seksyen 27 Akta Polis yang boleh dianggap satu pencabulan hak asasi.

Siasatan itu ditetapkan mulai hari ini hingga 16 Ogos di pejabat suruhanjaya itu di Jalan Raja Laut.

Jika siasatan terbuka itu mendapati wujud pencabulan hak-hak asasi panel Suhakam juga ingin mengenal pasti pihak yang bertanggungjwab dalam insiden tersebut, bagaimana ia berlaku termasuk tatacara yang menyebabkan ia terjadi dan syor-syor supaya ia tidak berulang.

Lima pengamal undang-undang berkenaan ditahan dalam satu perhimpunan di depan ibu pejabat polis daerah Brickfields pada 7 Mei lalu - hari persidangan DUN Perak yang dipenuhi kontroversi.

Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan semuanya dibebaskan petang keesokannya.

Kelima-limanya, yang menganggotai biro khidmat guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur, hadir di situ bagi mewakili sekumpulan aktivis yang ditahan kerana membantah penangkapan Wong Chin Huat, seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang menganjurkan orang ramai memprotes persidangan itu dengan berpakaian hitam.

0 ulasan: