Sabtu, 15 Ogos 2009

Syor undang-undang penggunaan Internet

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin mengesyorkan kepada kerajaan supaya diwujudkan undang-undang berkaitan penggunaan Internet sekiranya semakin ramai individu terus berani menggugat 'tiang-tiang seri' negara melalui blog mereka.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jika 'tiang-tiang seri' negara termasuk kedaulatan agama Islam, kedudukan raja-raja dan Perlembagaan Persekutuan cuba digoyahkan, ia boleh menimbulkan keadaan huru-hara.

Beliau berkata, ketiga-tiga perkara pokok itu adalah asas kepada pembentukan negara bangsa Malaysia yang berjaya sejak merdeka lagi dalam menyatukan pelbagai kaum dan usaha membangunkan negara.

"Kalau perlu saya akan syorkan kerana perkara yang berhubung kait dengan perkara pokok tadi, perkara yang boleh menyentuh kepada pertembungan kaum.

"Ini semua boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan negara, oleh itu kalau sekarang melalui undang-undang siber sedia ada tidak mencukupi, ia perlu dibubar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tegas beliau, kedudukan raja-raja tidak boleh digugat sama sekali oleh mana-mana pihak kerana sudah terbukti ia menjadi penaung semua rakyat negara ini tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang.

Mengulas mengenai perlembagaan pula katanya, apa yang termaktub di dalamnya perlu dihormati dan dipatuhi kerana ia adalah pegangan rakyat Malaysia sejak dahulu lagi.

"Kalau kita tidak menghormati apa yang termaktub di dalamnya dan mengetepikan sejarah, di mana kita nak letak pegangan anak-anak kita nanti?

"Bagaimana kita sebagai ibu bapa tahu bahawa apabila kita sudah tidak ada lagi anak-anak kita mendapat perlindungan daripada perlembagaan yang selama ini menyelamatkan dan memberi keselesaan kepada kita," tegasnya.

Beliau mengambil contoh tindakan beberapa penulis blog yang menghina Islam dan raja-raja Melayu tetapi mendapat sokongan daripada beberapa pemimpin pembangkang.

Jelas beliau, walaupun pemimpin-pemimpin itu juga Melayu dan Islam, tetapi atas dasar politik mereka seolah-olah menghalalkan cemuhan tersebut.

"Pemimpin ini menghalalkan cemuhan DAP terhadap Islam kerana pertimbangan politik ini walaupun mereka sebangsa dan seagama dengan kita.

"Maka kita perlu pastikan landskap yang kita wariskan hari ini untuk rakyat masa depan, mungkin 52 tahun akan datang perlulah berada di landasan kukuh kerana kita juga mewarisinya daripada pejuang-pejuang kita dahulu," tambah beliau.

0 ulasan: