Selasa, 13 Oktober 2009

3,600 pegawai pantau harga sempena Deepavali

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menempatkan 3,600 pegawainya di seluruh negara bagi memantau kenaikan harga barang menjelang perayaan Deepavali.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 2,000 orang terdiri daripada pegawai penguat kuasa dan 1,600 lagi adalah pegawai pemantau harga.

Katanya, mereka akan ditugaskan untuk mengawasi golongan peniaga agar tidak menjual barangan kawalan lebih daripada harga yang ditetapkan.

''Pemantauan harga ini perlu dilakukan secara berterusan bagi mengelakkan peniaga sesuka hati menaikkan harga untuk mendapat keuntungan besar.

''Kehadiran mereka secara tidak langsung di kedai-kedai runcit dan pasar raya seluruh negara dapat membantu pengguna daripada terus tertipu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan Skim Kawalan Harga sempena Deepavali 2009 di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom.

Terdahulu, sebanyak 15 jenis barangan dijadikan bahan kawalan sepanjang musim perayaan Deepavali berkuat kuasa mulai 12 hingga 21 Oktober.

Antara barangan yang dikawal ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan tanpa tulang, telur ayam gred A, B dan C, cili merah, tomato, bawang merah kecil (India), kelapa biji, kelapa parut dan ubi kentang import.

0 ulasan: