Isnin, 12 Oktober 2009

759 peluk agama Islam di ibu kota tahun ini

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seramai 759 rakyat Malaysia dan warga asing memeluk agama Islam di Wilayah Persekutuan dari Januari hingga September lalu, berbanding 597 orang sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Zainal Abidin Jaafar, berkata peningkatan itu sejajar dengan usaha gigih Jawi dalam menyebarkan syiar Islam dan satu perubahan positif di kalangan rakyat Malaysia yang mula sedar akan kebenaran ajaran Islam.

“Mereka yang memeluk Islam, termasuk warga Indonesia, Filipina dan Bangladesh selepas tertarik dengan ajaran Islam selepas melihat budaya Islam diamalkan di Malaysia.

“Kami menjangkakan jumlah ini akan meningkat kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini,” katanya pada Majlis Aidilfitri Jawi bersama orang kurang upaya (OKU) dan saudara Muslim di Dataran Kompleks Pusat Islam, di sini semalam.

Zainal Abidin berkata, bagi tempoh sama Jawi mengeluarkan peruntukan insentif sebanyak RM1.5 juta kepada saudara baru sebagai perangsang mereka terus mendekati dan menyayangi agama Islam.

“Pemberian insentif yang dimulakan sejak tahun lalu membabitkan tiga kategori iaitu bagi 18 tahun ke atas sebanyak RM1,500, tujuh tahun hingga 17 tahun RM1,000 dan enam tahun ke bawah sebanyak RM500.

“Sebelum kami beri insentif ini kepada mereka (saudara baru), kami akan temu duga bagi memastikan mereka ikhlas untuk memeluk agama Islam,” katanya.

Katanya, 98 peratus daripada 759 saudara baru yang berdaftar dengan Jawi pada tahun ini ternyata ikhlas dan mahu meneruskan bimbingan ajaran agama Islam mereka.

“Selebihnya itu kami dapati mereka adalah golongan yang tidak ikhlas apabila kembali kepada ajaran agama asal mereka,” katanya.

Katanya, kelas bimbingan agama pada tahun ini juga meningkat kepada lebih 600 siri berbanding 576 pada tahun lalu yang sejajar dengan peningkatan jumlah saudara baru.

0 ulasan: