
Ketika berdepan dengan persaingan yang sengit dalam negara, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seolah-olah tidak mendapat restu kerajaan. Semasa bekas PM, Abdullah Ahmad Badawi menerajui kabinet dari November 2003 hingga Mac 2009, beliau berusaha sedaya upaya untuk membangunkan lima projek raksasa koridor/wilayah pembangunan. Namun, PKFZ yang terletak di pantai barat Semenanjung seolah-olah diabaikan.
Di selatan, Projek Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia merangkumi pelabuhan Tanjung Pelepas, pelabuhan Johor dan Lapangan Terbang Senai yang bergabung menjadi logistik tiga penjuru (Logistic Triangle) dan zon perdagangan bebas. Manakala di utara, terdapat zon perdagangan bebas di pelabuhan Pulau Pinang (bahagian gudang dan aktiviti peniagaan) dan zon perindustrian bebas (perindustrian perkilangan dan pemasangan).
Di zon Pantai Timur, terdapat pelabuhan Kuantan yang dijadikan sebagai pusat pengumpulan kontena Petrochemical Hub. Di Wilayah Pembangunan Sabah pula, terdapat pusat pengumpulan kontena Sepangar Bay dan projek zon perdagangan bebas. Dalam keadaan sebegini, PKFZ tidak mempunyai sebarang keistimewaan, malah tidak memiliki kelebihan dalam persaingan.
Walaupun PKFZ telah diluluskan secara rasmi oleh kabinet pada tahun 1999, tetapi ia hanya mula beroperasi pada tahun 2006 setelah mengharungi pelbagai rintangan. Jelas, PKFZ terlepas peluang keemasannya untuk membangun. Pada saat-saat di mana Pelabuhan Tanjung Pelepas giat membangun, disusuli dengan perlancaran Zon Bebas Iskandar Malaysia, PKFZ dilanda pula penyelewengan sehingga gagal dimajukan, malah terjerumus dalam krisis kewangan yang serius.
Pada masa yang akan datang, pelabuhan di zon bebas yang lain akan mula berkembang, namun PKFZ masih bergelut dalam lumpur. Biarpun PKFZ cuba bangkit semula, ia tetap ketinggalan, malah dibelenggu dengan hutang yang berat.
Krisis kewangan yang dahsyat
Persoalan seterusnya, apakah kerajaan harus berusaha untuk meneruskan projek raksasa ini, ataupun menghentikan projek yang diumpamakan sebagai lubang tidak berdasar ini dengan serta merta?
PKFZ menghadapi persaingan sengit dalam negara, sehingga kehilangan pelanggannya secara berterusan, meletakkan PKFZ pada satu kedudukan yang tidak memihak kepadanya. Dengan kata lain, anggaran Lembaga Pelabuhan Klang bahawa PKFZ akan memperolehi kadar penyewaan 100% pada tahun 2018 dan menjelaskan semua hutang pada tahun 2042, nampaknya tidak realistik.
Anggaran aliran tunai (cash flow) dari tahun 2009 sehingga tahun 2046 oleh Lembaga Pelabuhan Klang sendiri, memperlihatkan PKFZ kini berada dalam keadaan yang tidak optimis. Dalam projek pembagunan PKFZ, Kuala Dimensi Sdn. Bhd. telah menjual bon-bon berjumlah RM 3.685 bilion dan kebanyakan bon-bon ini akan mencapai tempoh matang pada tahun 2012. Lembaga Pelabuhan Klang sendiri perlu bertanggungjawab kepada bon-bon yang telah mencapai tempoh matang itu kelak.
Selain itu, kos perbelanjaan tanah dan kejuruteraan PKFZ telah melonjak dari RM1.957 bilion kepada RM3.522 bilion. Kos ini ditambah pula dengan hutang sebanyak RM1.425 bilion kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn.Bhd ekoran daripada tangguhan pembayaran ansuran kepada syarikat berkenaan. Ini telah menyebabkan kos keseluruhan PKFZ mencecah RM4.947 bilion. Lantaran itu, Lembaga Pelabuhan Klang terpaksa bertindak menggunakan RM4.6 bilion yang dipinjam daripada Kementerian Kewangan untuk membayar hutang berkenaan.
Dalam keadaan sebegini, Lembaga Pelabuhan Klang terpaksa membayar balik pinjaman kepada Kementerian Kewangan setiap tahun bermula pada tahun 2010. Pada masa yang sama, Lembaga Pelabuhan Klang perlu membayar hutang kepada syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd. Oleh itu, Lembaga Pelabuhan Klang akan terjerumus dalam masalah aliran tunai defisit (cash flow deficit) yang serius mulai tahun 2012.
Walaupun Lembaga Pelabuhan Klang menganggarkan bahawa mereka bakal menjelaskan semua hutang pada tahun 2036, dan keadaan aliran tunai (cash flow) akan berada di tahap normal pada tahun 2042, tetapi perhitungan anggaran ini berdasarkan beberapa andaian. Pertama, PKFZ akan mencapai kadar penyewaan 100% pada tahun 2018; kedua, semua pembayaran sewa menepati masa; ketiga, sewa dinaikkan setiap tiga tahun mulai tahun 2012 dan sebagainya.
Oleh kerana agak mustahil untuk PKFZ mencapai matlamat kadar penyewaan 100% pada tahun 2018, maka biarpun pembayaran sewa menepati masa, juga dianggap tidak cukup untuk menanggung pembiayaan. Pendek kata, dalam keadaan di mana PKFZ gagal mencapai matlamat kadar penyewaan 100% itu, maka PKFZ tidak akan mampu untuk menanggung perbelanjaan operasi harian, dan membayar faedah hutang.
Ini juga bermakna, Lembaga Pelabuhan Klang langsung tidak berupaya untuk membayar hutang dalam masa yang ditetapkan.
0 ulasan:
Catat Ulasan