Rabu, 21 Oktober 2009

Amah dakwa dibotakkan kepala, diikat dalam tandas

BERITA HARIAN ONLINE


KLANG: Seorang pembantu rumah warga Indonesia mendakwa kepalanya dibotakkan oleh majikan, pasangan suami isteri dan terpaksa menjadikan tandas sebagai tempat tidur sebelum diselamatkan polis di sebuah rumah di Jalan Datuk Yusuf Shahbudin 6, Taman Sentosa, di sini, petang semalam.

Malah ketika diselamatkan, wanita dikenali sebagai Mantik Hani, 36, ditemui dalam keadaan tangan serta kaki terikat dan tidak bermaya dengan kecederaan teruk di beberapa bahagian badan.

Kecederaan itu termasuk luka hampir lima sentimeter sehingga menampakkan tulang pada kakinya, dipercayai dipukul dengan batang besi.

Peguam, Gerald Lazarus, berkata dia dimaklumkan mengenai penemuan wanita tidak bermaya dalam tandas di rumah itu oleh seorang wanita yang kemudian menghubunginya.

"Bagaimanapun setiba di rumah itu, saya tak berani masuk selepas melihat seorang lelaki berdiri di luar pintu sebelum bergegas ke Balai Polis Sentosa memaklumkan kejadian itu," katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, malam tadi.

Gerald berkata, sebaik menerima laporan, dua pegawai dan tiga anggota bergegas ke rumah itu sebelum menemui mangsa terbaring di dalam tandas berkenaan.

Mangsa kemudian dihantar ke HTAR dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Difahamkan mangsa bekerja di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu. Majikannya dipercayai melarikan diri sebaik perbuatan mereka terbongkar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu membabitkan kes mendatangkan kecederaan.

Katanya, polis sudah menahan isteri lelaki itu dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Bagaimanapun, polis masih meneruskan gerakan mencari lelaki itu dan percaya dapat menahannya dalam masa terdekat.

0 ulasan: