Isnin, 12 Oktober 2009

Bomba: Elak anak guna pemetik api

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Ibu bapa diingatkan supaya tidak mengajar anak-anak mereka menggunakan pemetik api kerana ia mampu menyumbang kepada kebakaran.

Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya mengesan tiga kes kebakaran rumah berpunca daripada perbuatan kanak-kanak yang dibiarkan bermain pemetik api.

"Dulu, pesanan supaya jauhkan pemetik dan mancis api daripada kanak-kanak pernah dihebahkan dan ia didapati berkesan.

"Namun kini, masalah itu timbul lagi apabila segelintir ibu bapa mengajar anak mereka menggunakan pemetik api semasa bermain mercun khususnya ketika musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur di Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju di sini hari ini.

Tegas beliau, ibu bapa juga perlu lebih bertanggungjawab dengan menjauhkan pemetik api dan mancis bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

"Akibat perbuatan itu, kita dapat lihat kesannya sejak selepas hari raya lalu apabila tiga buah rumah terbakar kerana anak-anak yang dibiarkan memegang dan bermain pemetik api," ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan para ibu bapa dan penjaga agar menjauhkan pemetik api daripada kanak-kanak.

0 ulasan: