UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan kononnya wujud sebarang cubaan anasir luar dari Indonesia yang dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) untuk menyerang negara ini.
Sebaliknya, beliau memberitahu, ia adalah khabar angin semata-mata dan meminta orang ramai supaya tidak mempercayainya.
''Negara kita masih selamat daripada sebarang anasir jahat,'' tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isnin lalu sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa kumpulan Bendera, dipercayai terdiri daripada 300 warga Indonesia yang mempunyai ilmu kebal akan menyerang Malaysia menerusi Pontianak dan Nunukan di Borneo bermula hari ini.
Ditanya mengenai peningkatan kawalan keselamatan di sempadan Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia, Musa berkata:
''Itu bukan sebab perkara ini. Sebelum ini pun tak wujud perkara-perkara ini, kita tetap kawal ketat sempadan negara daripada dibolosi oleh mana-mana pihak."
Beliau berkata, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara berkenaan setakat kini.
Semuanya bermula dengan penayangan klip komersial yang mengandungi elemen tarian Pendet bagi mempromosi siri dokumentari Enigmatic Malaysia di Discovery Channel.
Situasi menjadi bertambah buruk apabila media massa tempatan negara jiran itu menuduh Malaysia sengaja mencuri kebudayaan Indonesia untuk melariskan pelancongan sendiri.
Ekoran kontroversi tersebut, berlaku demonstrasi bantahan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta selain panggilan bom palsu dan bendera Jalur Gemilang dibakar.
Kelantan selesai isu tanah wat Siam di Tumpat
11 min yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan