UTUSAN ONLINE
MADINAH - Pasukan perubatan Tabung Haji melakukan persiapan yang perlu bagi memastikan lebih 26,000 jemaah Malaysia terhindar daripada ancaman virus selesema babi atau H1N1 ketika melaksanakan ibadat haji di Mekah.
Pengarah Operasi Perubatan di Madinah Dr. Wan Mansor Wan Hamzah berkata, walaupun ancaman virus itu sudah semakin reda namun bakal jemaah tidak boleh memandang mudah sehingga mengingkari nasihat dan peringatan yang dikeluarkan ketika berada di tanah suci.
Sebagai langkah pencegahan, katanya, mereka tidak perlu malu untuk memakai penutup hidung dan mulut sama ada semasa melaksanakan ibadat haji atau umrah.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bakal jemaah supaya tidak terlalu ghairah mengerjakan terlalu banyak umrah sehingga hilang stamina, terlalu lesu dan akhirnya jatuh sakit.
''Keghairahan menunaikan seberapa banyak ibadat umrah memang kerap berlaku. Bagi jemaah yang tiba awal, mereka mungkin tidak menghadapi masalah tetapi bagi jemaah yang lewat tiba, ada antara mereka mahu mengerjakan sebanyak mungkin umrah sebelum wukuf.
''Akibat terlalu ghairah mengerjakan umrah, akhirnya mereka hilang stamina, terlalu lesu dan ada jatuh sakit sehingga sukar mengerjakan haji dengan sempurna.
''Perkara ini memang biasa berlaku akibat keghairahan mengerjakan umrah," katanya kepada pasukan media Tabung Haji di klinik kesihatan lembaga itu di sini semalam.
Rombongan pertama jemaah Malaysia akan tiba di terminal haji di sini, esok dan mereka akan berada di Madinah antara lapan hingga sembilan hari sebelum dibawa ke Mekah. Tarikh mengerjakan haji tahun ini bermula 25 hingga 29 November ini.
Selain pasukan perubatan di Mekah, Tabung Haji setakat ini mempunyai 36 petugas perubatan di Madinah termasuk tujuh doktor.
Mengulas lanjut, Dr. Mansor berkata, jemaah haji juga perlu bijak menyesuaikan dengan perubahan cuaca yang berlaku.
Kata beliau, jika dalam keadaan biasa, ada ramai yang terdedah dengan penyakit berkaitan paru-paru ekoran terhidu debu, tentunya perkembangan semasa melibatkan ancaman H1N1 memerlukan setiap jemaah meningkatkan tahap kewaspadaan.
''Sebab itu, kita perlu berpada-pada sebelum wukuf agar tenaga dan stamina dapat dijaga untuk kegunaan masa kemuncak dan mengelak ibadat mereka diwakilkan kepada sesiapa," katanya.
Sebagai persediaan menghadapi kemungkinan yang berlaku, bakal jemaah haji Malaysia wajib mengambil suntikan vaksin meningoccoccal quadrivalent, selain suntikan influenza tambahan bagi menghadapi H1N1.
Dr. Mansor berharap melalui langkah-langkah pencegahan awal yang dilakukan, jemaah haji Malaysia tidak terlalu terdedah kepada ancaman H1N1.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
5 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan