Khamis, 22 Oktober 2009

Kelip-kelip kebanggaan Selangor akan pupus

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Industri pelancongan kelip-kelip yang bertaraf antarabangsa di Daerah Kuala Selangor dikhuatiri akan terhapus berikutan kepupusan ketara populasi serangga berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendapati aktiviti pertanian pinggir sungai menjadi punca kepada kemusnahan hutan di kawasan itu yang menjadi habitat bagi pembiakan kelip-kelip.

Kerajaan negeri pula dilaporkan merancang mengambil alih tanah milik individu di pinggir Sungai Selangor menjadi tanah kerajaan bagi memelihara habitat berkenaan.

''Laporan Audit ke Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada malam 29 Mac 2009 untuk melihat keadaan populasi kelip-kelip dengan menaiki bot menyusur Sungai Selangor mendapati populasi serangga itu telah berkurangan.

''Ini adalah kerana kawasan hutan pinggir Sungai Selangor di Kampung Kuantan telah ditebang dan dibersihkan untuk pembangunan pertanian, kemusnahan alam sekitar telah memberi kesan kepada kepupusan kelip-kelip dan sosioekonomi penduduk setempat," katanya.

Laporan berkenaan mula diedarkan di Parlimen kelmarin.

Pemulihan kelip-kelip merupakan Polisi Keempat (4) dalam Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Selangor (2007-2012) yang mana serangga berkenaan hendaklah dilindungi kerana menjadi daya tarikan utama pelancong dan menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat.

Kampung Kuantan di Daerah Kuala Selangor merupakan lokasi kelip-kelip yang hidup di atas pokok berembang, pokok sagu dan nipah di pinggir Sungai Selangor.

Menurut laporan itu, panorama keindahan yang dihasilkan oleh kumpulan kelip-kelip pada waktu malam menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Kampung Kuantan untuk melihat sendiri keindahan serta keunikan serangga berkenaan.

''Pihak Audit telah membuat semakan dan rujukan dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan mendapati FRIM telah menjalankan penyelidikan berkaitan habitat pembiakan dan pemantauan kelip-kelip sejak 2006.

''Kajian ini masih berjalan sehingga sekarang dan pada 14 Januari 2009, FRIM telah memaklumkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor bahawa populasi serangga di Kampung Kuantan telah berkurangan," katanya.

Tambah laporan berkenaan, kajian FRIM mendapati sepanjang tempoh pemantauan populasi dijalankan, tiga daripada tujuh kawasan yang dipantau pada asalnya terdiri daripada hutan pinggir sungai tetapi telah dilapangkan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan pertanian dan lainlain.

''Kawasan yang dilapangkan adalah kawasan habitat pembiakan kelip-kelip dan kesinambungan populasi serangga ini sangat bergantung kepada kawasan habitat semula jadi seperti hutan sagu dan nipah,'' katanya.

0 ulasan: