Isnin, 12 Oktober 2009

Pas cadang SPRM di bawah Parlimen

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - Pas mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen agar peranannya lebih telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sebagai sebuah institusi besar, SPRM perlu berada di bawah pengawasan sebuah badan bebas yang diyakini.

“Sebuah jawatankuasa terdiri daripada ahli-ahli Parlimen harus ditubuhkan bagi melantik pengurusan tertinggi SRRM. Ini barulah betul-betul mencerminkan integriti badan itu untuk membanteras rasuah,” katanya.

Mahfuz berkata, terlalu banyak kes-kes besar yang dikaitkan dengan rasuah masih tidak selesai sehingga sekarang dan tindakan itu seolah-olah mahu melindungi pihak-pihak tertentu daripada didakwa.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bercadang untuk membahaskan isu berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Saya agak kecewa kerana pihak pembangkang tidak jemu-jemu memberi pandangan dan idea bernas dalam sesuatu isu, tetapi satu pun tidak diterima. Apa salahnya dalam 10 cadangan, satu usul dibawa berbincang demi kebaikan ,” katanya.

Mahfuz berkata, laporan terbaru Transparency International (TI) menunjukkan kedudukan Malaysia dalam CPI adalah di tangga ke 47, berbanding sebelum ini, 43.

“Ini memberi imej buruk kepada negara bagi tahun 2008, walaupun SPRM ditubuhkan namun tidak membantu dalam pengurangan indeks, malah makin mencorot. Saya percaya puncanya ialah SPRM tidak dilihat cukup bebas dalam peranannya,” katanya.

Menurutnya, ini juga membuktikan negara tidak bersungguh-sungguh memerangi amalan rasuah yang berleluasa terutama dalam sektor perkhidmatan awam.

0 ulasan: