Sabtu, 10 Oktober 2009

PM akui kaum India dibelenggu pelbagai masalah

BERNAMA


Mengakui yang masyarakat India Malaysia dibelenggu pelbagai masalah, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berikrar untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan yang menyokong konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau, bagi menangani masalah yang dihadapi masyarakat itu.

"Terdapat beberapa masalah serius yang membelenggu masyarakat India dan ia merupakan masalah sebenar yang perlu ditangani. Kami akan bekerjasama dengan semua, parti-parti politik di dalam dan di luar BN, termasuk badan bukan kerajaan.

"Masalah itu telah bersama-sama kita untuk sekian lama dan ia memerlukan usaha besar-besaran untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Masalah ini termasuk kemiskinan, standard pendidikan lebih tinggi di sekolah-sekolah Tamil, setinggan dan pewujudan peluang perniagaan untuk kaum India," kata Perdana Menteri kepada
pemberita selepas melancarkan Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) di sini.

Dalam usaha menangani masalah berkenaan, Najib, yang juga pengerusi BN berkata semua parti dan bukan hanya masyarakat itu, perlu berusaha dan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik lagi.

Beliau menegaskan konsep 1Malaysia yang diilhamkan beliau adalah cara terbaik untuk mencapai semua itu kerana ia menggalakkan keharmonian di kalangan semua kaum yang tinggal di negara ini.

Beliau berkata walaupun terdapat kumpulan masyarakat India yang antikerajaan, cenderung untuk mewujudkan masalah dan membangkitkan isu-isu yang tidak perlu, golongan itu tidak mencerminkan dan mewakili semua masyarakat India Malaysia.

"Majoriti rakyat mahukan keharmonian di kalangan pelbagai kaum dikekalkan.Mereka mahukan kemajuan dan itulah yang mereka akan dapat selagi mereka mempercayai pentadbiran kerajaan sekarang dan konsep 1Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada parti politik lebih kecil seperti MMSP akan dibenarkan menyertai parti komponen BN, beliau berkata keputusan mengenai perkara itu ditentukan oleh Dewan Tertinggi BN.
"Tetapi walau apapun, mereka ini akan menyokong BN, kecuali mereka ini bukan anggota komponen," katanya.

Najib turut menyangkal spekulasi yang beliau merupakan pihak yang bertanggungjawab di belakang penubuhan MMSP disebalik MIC, yang dikatakan parti politik kaum India terbesar di negara ini, berada dalam komponen BN.

0 ulasan: