Oleh Faiza Zainudin, Nazura Ngah, Khairul Azran Hussin
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.96 bilion daripada RM3.26 bilion yang diperuntukkan menerusi 14 pakej bagi membantu petani menjadi petani moden belum dibelanjakan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata, sejak 1996 hingga 2003, seramai 73,000 petani memperoleh faedah daripada pakej berkenaan yang diperkenalkan menerusi Agrobank membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.3 bilion.
Katanya, selain pakej berkenaan, kerajaan juga memperkenalkan teknologi moden menggunakan alat jentera moden dengan perun-tukan sebanyak RM380 juta.
"Peruntukan itu digunakan untuk membekalkan jentera moden sama ada diberi percuma kepada ketua ladang atau petani menerusi geran padanan, sebagai contoh jika jentera moden itu berharga RM10,000 petani hanya perlu membayar separuh, manakala bakinya akan dibiayai oleh kerajaan.
"Usaha untuk menaik taraf bidang pertanian juga membabitkan penekanan kepada generasi kedua terutama golongan siswazah kerana kerajaan mahu bidang pertanian diurus secara lebih berkesan dengan ilmu," katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong).
Nancy meminta penjelasan bagaimana bidang pertanian mampu menarik golongan belia sekali gus menjadikan pertanian sebagai aktiviti komersial.
Noh berkata, kerajaan juga menggalakkan petani menceburi bidang baru yang lebih lumayan seperti industri burung walet, rumpai laut, perniagaan ikan hiasan yang mempunyai pasaran baik di peringkat antarabangsa.
Terdahulu dalam jawapan asal, beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sejumlah RM25 juta dibelanjakan bagi membantu seramai 1,243 ahli pertubuhan peladang bagi membesarkan saiz, menambahbaikkan, mengubah suai premis bagi membolehkan mereka mengeluarkan hasil yang lebih banyak.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
5 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan