BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana undang-undang itu masih relevan dan terpakai dalam suasana keselamatan dan ketenteraman awam semasa negara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
"ISA perlu dikekalkan kerana keberkesanannya dalam mencegah sebarang perbuatan, kegiatan atau aktiviti berbentuk subversif ataupun yang boleh mengancam atau memudaratkan keselamatan negara dan ketenteraman awam," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Karpal ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk memansuhkan ISA dan kesemua undang-undang berkaitan penahanan tanpa perbicaraan.
Hishammuddin berkata, kementerian menubuhkan Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang untuk menyemak ISA dengan perkara yang diberi tumpuan adalah seperti bidang kuasa menteri, tempoh tahanan dan hak-hak orang tahanan.
Katanya, sehingga 30 September lalu, masih ada sembilan tahanan ISA, iaitu enam terbabit dengan kegiatan militan dan keganasan manakala tiga lagi terbabit dengan pemalsuan dokumen.
"Jawatankuasa Teknikal Kajian Undang-Undang kini dalam proses menyemak dan mengkaji peruntukan dan prosedur pelaksanaan ISA serta membuat perbandingan dengan undang-undang seumpama itu di negara lain," katanya.
Undang-undang berkenaan ialah seperti di Amerika Syarikat (USA Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002); Australia (Terrorism Act 2005); United Kingdom (Terrorism Act 2000); Singapura (Internal Security Act 1963).
Negara lain ialah Tanzania (Tanganyika Preventive Detention 1962); Bangladesh (Special Powers Act 1974), Ghana (Preventive Detention Act 1958); Timor Leste (Internal Security Law 2003); Israel (Emergency Powers [Detention] Law) dan Sri Lanka (Prevention of Terrorism Act 1982).
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
8 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan