Jumaat, 11 Disember 2009

Aktiviti murid tamat UPSR, PMR

BERITA HARIAN ONLINE


KEMENTERIAN Pelajaran sedang mengkaji aktiviti yang sesuai dijalankan di sekolah untuk murid dan pelajar selepas tamat menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelak mereka ponteng sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah ini perlu dilaksanakan untuk mengatasi gejala ponteng sekolah khususnya di kalangan mereka yang selesai menduduki peperiksaan itu.

"Antara faktor ponteng ialah apabila selesai peperiksaan (mereka) kena ada di sekolah, ini menyebabkan para pelajar bosan kerana tiada apa nak belajar... jadi mereka ponteng," katanya menjawab soalan tambahan Senator Zamri Yusof pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau berkata, kementerian juga melaksanakan Program Piawaian Keselamatan Sekolah yang memberi tumpuan kepada lima aspek termasuk pengurusan aktiviti murid, pengurusan keselamatan dalam menangani gejala sosial dan keselamatan.

0 ulasan: