Oleh Marhaini Kamaruddin
OSAKA – Para pelabur dari Malaysia disaran mengambil alih syarikat-syarikat Jepun dengan teknologi tinggi, yang hampir muflis ekoran situasi ekonomi tidak menentu di negara itu sekarang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mendapat maklumat daripada kapten industri di Tokyo dan Osaka bahawa ini adalah masa paling sesuai untuk syarikat-syarikat Malaysia yang berkemampuan berbuat demikian.
“Banyak syarikat Jepun di sini menghadapi masalah ekoran tindakan kerajaannya memotong perbelanjaan. Saya fikir kita mesti terus secara agresif berhubungan dengan industri di Jepun.
“Mungkin juga pelabur-pelabur Malaysia patut datang melabur di Jepun kerana saya dimaklumkan sesetengah syarikatnya hampir bankrap dan tidak mahu meneruskan perniagaan,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Misi Galakan Pelaburan Khas diketuai beliau di sini hari ini.
Muhyiddin menyarankan pelabur Malaysia yang ada kemampuan, membeli syarikat Jepun bermasalah yang mempunyai teknologi agar mendapat akses terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka.
“Kalau mereka datang ke Jepun sekarang dan menawarkan apa yang Malaysia ada, saya percaya banyak manfaatnya kepada negara terutama dari segi R&D yang tidak semudah itu akan diberikan oleh syarikat terbabit,” katanya.
Dalam hal ini, beliau telah mengarahkan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menyediakan senarai syarikat Jepun yang bermasalah menerusi kerjasama bank saudagar.
Menurutnya, Bank of Tokyo telah pun menyatakan kesediaan untuk bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan.
“Kalau kita tahu sektor mana yang teruk terjejas maka bolehlah kita merancang tindakan yang sesuai. Sehingga kini kita terlalu menumpukan kepada pelaburan ke Malaysia dan tidak pernah memikirkan untuk masuk ke Jepun,” katanya.
Ditanya adakah agensi pelaburan kerajaan akan diminta meneroka peluang berkenaan, Muhyiddin berharap satu pasukan dapat dibentuk bagi meninjau perkara itu.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
8 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan