UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Hanya pengetua dan guru besar sekolah berprestasi tinggi (SBT) akan diberi kuasa untuk mengambil dan memecat guru jika perkara itu diluluskan oleh Kementerian Pelajaran kelak.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi bagaimanapun berkata, guru yang dipecat oleh pengetua melalui sistem itu bukannya diberhentikan daripada perkhidmatan, sebaliknya akan ditukar ke sekolah lain kerana tidak mencapai piawaian.
''Kuasa mengambil dan memecat guru oleh pengetua masih dalam perbincangan dan belum diputuskan lagi.
''Sekiranya diluluskan, hanya pengetua dan guru besar di SBT akan memiliki kuasa tersebut dan bukannya untuk semua 10,000 sekolah,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Forum Satu Asia 2009 Belia dan Media Sosial: Kerjasama Dalam Talian dan Masa Depan Asia anjuran Majlis Belia Asia (AYC) di sini hari ini.
Forum selama empat hari yang bermula semalam itu disertai oleh 23 negara dari rantau Asia Pasifik.
Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran itu memberitahu, pengetua dan guru besar mungkin diberi kuasa untuk mengambil dan memecat mana-mana guru pada masa akan datang.
Mohd. Puad berkata, antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam sistem pendidikan ialah pengetua atau guru besar yang cemerlang akan diberikan ganjaran.
Menurutnya, selain daripada ganjaran wang ringgit dan kemudahan lain, mereka akan diberikan kuasa mengambil dan memecat guru bagi membuat perubahan berasaskan kepada kepimpinan untuk kecemerlangan sekolah.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
8 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan