Rabu, 9 Disember 2009

Jangan terpedaya taktik individu edar kupon Subur berbayar

Keningaukini


KENINGAU: Penduduk di kawasan Parlimen Pensiangan diingatkan supaya jangan terpedaya dengan gerakan beberapa individu yang mengedarkan borang permohonan kupon Subsidi Beras (Subur) berbayar.

Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup berkata, tidak ada individu yang diarah untuk mengedarkan borang selaian Ahli Jawatankuasa atau Urusetia Pembangunan Pertanian Parlimen Pensiangan.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar berkata demikian sebagai mengulas aduan penduduk di daerah ini yang didatangi oleh beberapa individu yang mengedarkan borang dengan bayaran antara RM35 hingga RM165 bagi setiap pemohon.

Bercakap kepada New Sabah Times selepas menyempurnakan Karnival Rakan Alam Sekitar sempena Program Rakan Alam Sekitar (RAS) peringkat Daerah Kecil Sook pada Jumaat, Kurup berkata, pemberian kopun Subur ditangguhkan sementara waktu untuk mengenalpasti mereka yang layak mendapat subsidi itu.

Menurut Kurup pihaknya, mendapat maklumat dari Urusetia Subur di kawasan Parlimen Pensiangan bahawa terdapat individu yang membuat gerakan pengedaran borang dengan bayarannya sekali.

Katanya, pemberian kupon subsidi kerajaan ini adalah percuma dan ia hanya diedarkan oleh Urusetia Subur sahaja.

Justeru itu katanya, penduduk di kawasan ini jangan melayan mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Beliau meminta penduduk di kawasan ini membuat laporan polis jika didatangai oleh individu yang berbuat demikian.

Katanya, tindakan akan diambil terhadap mereka yang melakukan kegiatan itu kerana ia menyalahi undang-undang.

0 ulasan: