Jumaat, 11 Disember 2009

Konsert Shah Rukh Khan hari ini batal

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Hasrat ribuan peminat bintang filem Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan untuk melihat artis pujaan mereka beraksi pada konsert yang dijadual berlangsung esok di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini tidak kesampaian kerana ia terpaksa dibatalkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembatalan konsert itu disebabkan beberapa faktor termasuk kesibukan aktor tersebut memenuhi undangan konsert selain ketiadaan penaja.

Menurutnya, konsert itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain sehingga pihaknya berjaya memperoleh penaja untuk penganjuran konsert tersebut.

''Konsert esok ditangguhkan kerana beliau (Shah Rukh Khan) ada kerja dan pada masa sama tiada pihak yang menaja konsert ini.

''Kita berasakan tawaran beliau untuk mengadakan konsert di Melaka dibuat pada masa yang singkat. Ingatkan boleh dapat tajaan cepat tetapi penaja juga belum mampu dan Shah Rukh Khan beritahu beliau banyak kerja, jadi, kita tangguh dulu sehingga dapat penaja konsert ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Pengurusan untuk Pegawai Eksekutif dan Pegawai Kanan GLC milik kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, penganjuran konsert tersebut mungkin dibatalkan terus sekiranya gagal mendapat tajaan mana-mana pihak.

''Jika tiada penaja, kita merancang menjemput Shah Rukh Khan melawat sahaja negeri ini memandangkan aktor tersebut juga bercadang membuat penggambaran filem terbarunya di Melaka," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali memberitahu, program Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok, merupakan penganjuran kali keempat pada tahun ini di negeri ini.

Katanya, selepas berakhir program itu, kesemua produk pameran SDSI akan ditempatkan di Kompleks SDSI Kota Fesyen mengikut negeri-negeri masing.

''Kesemua kedai itu akan diuruskan oleh Syarikat Pemasaran Melaka kecuali Terengganu yang akan mengurus sendiri jualan produk mereka.

''Melalui kemudahan ini, rakyat Melaka dan pelancong asing berpeluang mendapatkan pelbagai produk keluaran semua negeri tanpa perlu bersusah payah untuk ke negeri lain kerana semuanya boleh didapati di Kota Fesyen Melaka," katanya.

0 ulasan: