Rabu, 9 Disember 2009

Rancangan seram di televisyen trend semasa

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Rancangan berunsur seram yang kini banyak ditayangkan di televisyen adalah kerana trend atau permintaan semasa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, kandungan siaran televisyen, radio dan filem dipantau rapi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKSM) dan semua kandungan pra rakam siaran perlu ditapis dan mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.

"Pemantauan mendapati stesen tv dan radio swasta banyak menyiarkan rancangan yang sarat dengan mesej positif dan berbentuk pengajaran, namun ia diserapkan melalui pendekatan yang kreatif, menarik dan menghiburkan termasuk program-program remaja,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Hayati Othman (Pendang-Pas) pada persidangan dewan.

Kepada soalan asal Nancy Shukri (BN-Bukit Sadong), Seai Kie berkata, penerapan nilai-nilai murni merupakan usaha berterusan sama ada di RTM atau stesen televisyen swasta termasuklah dalam siaran iklan, hiburan dan drama.

"RTM memastikan semua rancangan termasuk sitkom komedi mempunyai mesej tersendiri, bertujuan menerapkan nilai-nilai murni di kalangan penonton. Usaha ini turut dilaksanakan melalui siaran lagu-lagu patriotik pada waktu perdana oleh RTM,” katanya.

0 ulasan: