HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Disember 2009

Royalti minyak: Ibrahim cadang Ku Li jumpa Perdana Menteri

UTUSAN ONLINE


BALING - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dicadangkan supaya bertemu Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu tuntutan royalti minyak demi kepentingan bersama rakyat Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pertemuan dengan Perdana Menteri lebih 'elok' memandangkan Tengku Razaleigh adalah bekas pengasas dan pengerusi Petronas yang mencipta perjanjian berkenaan dan pasti ada pandangan terbaik untuk dikemukakan kepada kerajaan.

Malah, katanya, tindakan itu perlu bagi mengelakkan isu berkenaan dipolitikkan pihak-pihak tertentu terutama pembangkang.

"Saya ingin mencadangkan kepada Tengku Razaleigh dalam isu royalti minyak supaya bertemu dengan Perdana Menteri. Saya kira ini cara yang lebih baik," katanya.

Beliau kepada demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Daerah Baling di Kampung Tiak, Kupang dekat sini hari ini.

Ibrahim mengulas kesediaan Tengku Razaleigh untuk memberi penjelasan berhubung isu tuntutan royalti minyak kerajaan negeri Kelantan demi faedah rakyat negeri itu.

Tengku Razaleigh semalam dilaporkan berkata, penjelasan itu akan dibuat pada perhimpunan raksasa anjuran 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kota Bharu dalam masa terdekat bagi seluruh rakyat Kelantan mendapat gambaran sebenar mengenainya.

Menurut Ibrahim, sebagai anggota UMNO dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), pandangan yang dikemukakan Tengku Razaleigh kepada Perdana Menteri sudah tentu boleh diterima dengan baik.

"Sebagai orang luar (dari UMNO), saya rasa ini pendekatan terbaik kerana apabila timbul isu royalti sekarang, saya lihat pembangkang mahu guna Tengku Razaleigh untuk meraih kepentingan politik," katanya.

Beliau yang juga Presiden Perkasa memberitahu, jika Tengku Razaleigh bertemu Perdana Menteri, ia dapat mengelakkan isu itu dipolitikkan dan mengelakkan polemik berpanjangan.

"Memang tidak salah beliau selaku orang yang bertanggungjawab cipta perjanjian untuk beri penjelasan dan memperjuangkan rakyat. Namun beliau boleh buat dalam cara lebih betul," katanya.

Tambah Ibrahim, selaku rakyat Kelantan, beliau mengharapkan Tengku Razaleigh terus memperjuangkan kepentingan Kelantan dan pada masa sama mengelakkan rasa kurang senang di kalangan rakyat negeri itu.

"Saya berharap beliau bertindak sebagai seorang negarawan. Ini kerana kita semua tahu beliau adalah pemimpin berwibawa malah seangkatan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak. Janganlah bertindak seperti pemimpin pembangkang," jelasnya.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat mengumumkan pemberian wang ihsan kepada Kelantan menggantikan bayaran royalti minyak pada tahun depan kerana operasi cari gali petroleum berada di luar 5.56 kilometer (3 batu nautika) dari perairan negeri itu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mengemukakan tuntutan royalti minyak di mahkamah berjumlah RM2 bilion sejak operasi cari gali petroleum bermula 2005, mengikut perjanjian Petronas-kerajaan negeri 1974 yang ketika itu Tengku Razaleigh merupakan Pengerusi Petronas.

Tiada ulasan: