Khamis, 10 Disember 2009

Tarif baru elektrik 2010?

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Tarif elektrik baru mungkin akan diperkenalkan pada Januari depan selari dengan permohonan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menaikkan kadar tarif.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui mengesahkan pihaknya telah menerima permohonan TNB itu dan sedang meneliti kemungkinan untuk mengubah tarif elektrik.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang keputusan mengenai perkara itu akan mengambil kira kepentingan rakyat dan perlu mendapat persetujuan Kabinet.

‘‘TNB merupakan syarikat penjana kuasa dan adalah biasa untuk mereka kemukakan masalah mereka, tetapi kerajaan akan meneliti kepentingan rakyat kerana perkara ini memberi impak kepada pelbagai sektor dan sub sektor.

‘‘Kerajaan mengkaji tarif elektrik setiap enam bulan berdasarkan harga bahan api, tarif elektrik mungkin berubah atau tidak berubah pada tahun depan’' katanya.

Fah Kui berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran blog beliau http://peterchin.my sempena perhimpunan bulanan Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) di sini hari ini.

Kali terakhir kerajaan mengumumkan perubahan tarif elektrik ialah pada 1 Mac lalu dengan penurunan tarif pada purata 3.7 peratus kepada 31.3 sen sekilowat jam (kWj) daripada 32.5 sen kWj.

0 ulasan: