Jumaat, 15 Januari 2010

6,163 telefon ah long dibatal

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM


PUTRAJAYA. – Sebanyak 6,163 nombor telefon pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long berjaya dikesan sekali gus dibatalkan perkhidmatan talian mereka daripada terus beroperasi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, usaha mengesan nombor telefon itu mendapat kerjasama daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengenal pasti ah long terbabit untuk diambil tindakan.

‘‘Pendedahan nombor telefon itu melalui iklan-iklan haram yang ditampal memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka.

‘‘Kita minta kerjasama SKMM untuk mengesan pemilik nombor telefon itu di samping syarikat telekomunikasi bagi menyekat perkhidmatan talian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bagi membanteras gejala ah long, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abu Seman berkata, jumlah kes kegiatan ah long yang dilaporkan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang berlesen 1951 didapati meningkat pada tahun lalu iaitu sebanyak 484 berbanding 256 kes pada 2008.

‘‘Sebanyak 578 kes di bawah Kanun Keseksaan pula dilaporkan tahun lalu dengan 70 kes daripadanya berjaya ditangkap manakala 431 kes masih dalam siasatan polis,” katanya.

Abu Seman berkata, sebanyak 10,478 aktiviti pencegahan sudah dilaksanakan termasuk memperhebatkan kempen kesedaran mengenai bahaya ah long di papan tanda iklan digital di jalan raya.

‘‘Kita juga mencadangkan agar hukuman lebih berat dikenakan ke atas ah long iaitu denda sebanyak RM50,000 ditingkatkan kepada RM200,000 dan sebatan jika kesalahan berulang.

‘‘Hukuman ke atas peminjam ah long juga mungkin dikenakan dan ia akan menjadi satu kesalahan jenayah,” katanya.

0 ulasan: