Khamis, 14 Januari 2010

Skim bayaran pendahuluan nafkah bukan penyelesaian

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Wanita Keadilan menyifatkan skim pembayaran pendahuluan nafkah kepada isteri-isteri yang telah mendapat perintah nafkah dalam proses perceraian bukanlah penyelesaian bagi ketidakupayaan kerajaan menguatkuasakan pembayaran nafkah oleh bekas suami kepada bekas isteri dan anak-anak di bawah jagaan mereka.

Namun begitu, ketuanya, Zuraida Kamaruddin menyambut baik pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom bahawa kerajaan akan melaksanakan skim tersebut.

"Soalan yang kritikal dari skim ini adalah oleh kerana pendahuluan ini berbentuk pinjaman, maka siapakah yang perlu bayar balik penjaman ini? Bekas suami atau bekas isteri? Apakah tempoh yang diberikan untuk bayar balik pinjaman ini? Bagaimana jika bekas isteri mengambil masa yang panjang untuk menstabilkan kehidupan? Bagaimana pula jika bekas suami ingkar dan tidak bayar nafkah seperti yang diputuskan oleh mahkamah?" katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang juga berkata, pihak yang akan melaksanakan skim itu harus memperhalusi mekanisma yang cekap dan adil dari segi perlaksanaan agar wanita-wanita yang bercerai dapat meneruskan kehidupan mereka dan kebajikan anak-anak di bawah jagaan mereka dapat dipelihara di samping wang rakyat tidak habis begitu sahaja melayani karenah birokrasi.

"Selain dari mengelakkan bekas suami dari mengambil kesempatan dari skim ini untuk menangguhkan bayaran nafkah, pihak-pihak berwajib hendaklah mengambil langkah pro-aktif mendidik masyarakat agar tanggungjawab terhadap anak-anak dan bekas isteri tetap dilaksanakan agar institusi keluarga tetap utuh untuk mengeluarkan anak-anak yang stabil emosinya," katanya lagi.

Menurut Zuraida juga, bekas-bekas suami yang ingkar membayar nafkah hendaklah dianggap sebagai penjenayah kerana membiarkan anak-anak dan bekas isteri menderita apabila mereka mengelak dari melaksanakan tanggungjawab kekeluargaan.

Penguatkuasaan undang-undang juga, tegasnya perlu dilaksanakan untuk menghentikan keperitan bertahun-tahun ini yang diabaikan oleh pihak Kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Kelmarin Jamil Khir mengumumkan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk membantu isteri-isteri yang dalam proses perceraian yang tidak diberikan nafkah oleh suami.

Menurutnya, insentif itu diberikan supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan baik dan tidak iabaikan.

0 ulasan: