Isnin, 15 Februari 2010

Adakah Sentimen Semasa Tidak Memihak Pakatan ?

Oleh ZMAS


ADA orang berpendapat keputusan mahkamah yang memihak Dr Zambry dan BN dalam kes siapa layak menjadi Menteri Besar Perak yang sah boleh bertukar menjadi senario sebaliknya jika kes Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dibicarakan pada minggu yang sama.

Kisah hangat dan tragis yang sudah berlegar sekitar kes Anwar seminggu sebelum Zambry diumumkan sebagai pemenang seolah-olah menunjukkan sentimen umum rakyat terutama di kalangan penyokong Pakatan bahawa Nizar bakal menghadapi suasana sukar.

Walaupun ramalan umum sebelum ini sudah menampakkan beliau bakal kalah, tetapi tidaklah dengan kekalahan seteruk 5-0. Kes yang dihadapi Anwar sedikit sebanyak menambah buruk sentimen umum di dalam dan dil luar mahkamah terhadap nasib pemimpin Pakatan. Ketewasan sebulat suara yang diambil 5 hakim mendedahkan Nizar tidak layak lagi membuat rayuan.

Sentimen umum rakyat semakin panas apabila peguam Anwar, Karpal Singh menggesa hakim yang mengendalikan kes Anwar ditukarkan kerana didakwa berat sebelah (bias) dan gagal mengambil tindakan sewajarnya kepada akhbar Utusan. Semua ini dianggap lebih menyukarkan tugas mahkmah dan dikatakan menimbulkan lagi kebencian di kalangan penyokong kerajaan yang menuduh Anwar sengaja cuba melengah-lengahkan kes perbicaraannya.

Sebelum itu percakaran dan perselisihan faham di kalangan pemimpin dalam Pakatan mengenai beberapa isu hangat sudah menjejas teruk reputasi dan imej Pakatan di mata rakyat. Rakyat secara langsung sudah dihidangkan dengan rentetan episod peristiwa yang tidak menyenangkan dan mengecewakan. Benarkah semua andaian itu? Apakah benar persepsi sudah mengubah situasi?

Sebelum keputusan kemelut di Perak diumumkan, beberapa pensyarah universiti dan penganalisis politik berpendapat, Nizar masih berpeluang menang jika kesnya itu dikaji dari sudut peraturan undang-undang di buku dan dari pandangan teknikal dan teknikalitinya. Namun, hakim juga boleh membuat keputusan dari sudut kepentingan sentimen politik dan bersandarkan keputusan mahkamah sebelumnya yang mengekalkan Zambry sebagai MB setelah tindakan 3 AP Pakatan bertukar arah menyokong BN.

Apapun, mahkamah sudah membuat keputusan dan tidak ada pihak boleh mempertikai cuma sekedar rungutan dan nada kekesalan serta kehampaan yang tidak boleh lagi mengubah hukum pengadilan. Begitupun, Nizar dan Pakatan Perak sudah mengambil langkah permulaan baik untuk bekerjasama dengan pemimpin BN membangun Perak dengan beberapa syarat.

Setengah pihak berpendapat tindakan pemimpin Pakatan negeri itu tepat dan dialu-alukan tetapi mengapa perlu bersyarat? Sepatutnya dalam situasi sukar ketika ini pemimpin Pakatan mengambil jalan tengah dengan meredakan sentimen rakyat yang sudah bosan dengan kecelaruan dan kemelut yang sudah berlalu terlalu lama.

Pemimpin Pakatan negeri harus bergerak ke hadapan mengambil hati pengundi dengan bekerjasama bersama BN meneruskan hidup dan merealisasikan impian rakyat tanpa perlu syarat-syarat yang membebankan? Rakyat tidak boleh diheret dalam kemelut dan kekusutan yang berterusan tanpa tanda noktah. Agenda pembelaan dan pembangunan rakyat harus diutama dan diberi keutamaan sesuai dengan janji-janji dalam kempen pilihanraya lalu dan mengenepikan dendam politik yang boleh memakan diri dan parti.

Jangan lupa seperti yang sudah diakui Nizar sendiri, undi orang Melayu sudah merosot kepada Pakatan sejak bermulanya kemelut di Perak itu. Begitu juga pengundi kaum India yang dikatakan sudah beralih angin menyokong BN berdasarkan dasar 1Malaysia Najib yang sudah memikat hati mereka. Sepatutnya ini menjadi tumpuan Nizar dan kawan-kawan DAPnya, bagaimana memenangi semula hati dan simpati mereka!

Pengundi kaum Cina dikatakan masih kuat menyokong Pakatan. Tetapi sokongan yang berdasarkan sentimen dan emosi semata-mata tidak mungkin kekal lama. Lambat laun mereka juga akhirnya berfikiran waras dan menerima kenyataan dalam menghadapi realiti hidup sebenar apabila waktu turut berubah.

Sudah kedengaran kritikan keras dan rungutan terhadap pemimpin DAP oleh rakan PKR dalam Pakatan yang mempersoal dasar parti itu yang dikatakan mengongkong dan mendahulukan agenda kaumnya sendiri lebih dari tuntutan kaum lain. Pemimpin DAP di Perak didakwa sengaja menuntut hak bukan-bukan yang sudah menimbulkan kemarahan Raja dan majoriti orang Melayu. Kesilapan itu harus diakui dan diterima sebagai pengajaran yang berguna untuk berubah.

Pengundi Cina boleh bertukar pendirian jika pemimpin DAP dalam Pakatan negeri tidak pandai mengambil hati mereka dan tidak peduli tuntutan mereka. Seringkali dikatakan mereka adalah kelompok pengundi yang bijak membuat keputusan bersandarkan isu semasa bukan sentimen kaum. Mereka boleh bertukar angin dan pendirian dengan mudah jika tuntutan mereka gagal ditunaikan khusunya dalam bidang ekonomi dan perniagaan.

Apatah lagi Najib dan Muhyiddin sudah menjalankan kempen agresif 1Malaysia serta memulakan kempen ‘Juara Rakyat’ yang boleh menggegar hati semua kaum termasuk orang Cina. Apa yang mungkin perlu diberi perhatian utama oleh pemimpin Pakatan Perak ialah bagaimana menyusun rancangan dan perancangan menakluk semula Perak dari tangan BN dengan agenda merealisasikan impian rakyat semua kaum tanpa memilih warna kulit.

Perubahan sikap dan pendekatan adalah perlu dan tidak dapat dielakkan jika Pakatan mahu diterima rakyat.

Agenda sentimen dan dendam politik yang berlarutan tanpa menyedari realiti situasi yang sudah bertukar dan kehendak rakyat yang juga sudah berubah harus menjadi pertimbangan utama pemimpin Pakatan jika mahu memenangi semula hati dan simpati rakyat supaya menyokong mereka dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

0 ulasan: