
PUTRAJAYA — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggesa orang ramai agar bersabar kerana polis masih menyiasat insiden bekas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis, yang telah menyinggung perasaan orang bukan Melayu baru-baru ini.
Hishammudin berkata pihak berkuasa perlu objektif dalam siasatan mereka melibatkan Nasir yang minggu lalu meletakkan jawatan ekoran kenyataannya “orang India datang ke Malaysia sebagai pengemis manakala orang Cina pula khususnya wanita untuk menjual badan mereka” ketika berucap pada Program Rapat 1 Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas di Melaka, 2 Feb lalu.
“Ia masih dalam siasatan... kita telah memperlihatkan bahawa dalam semua kes, kita tidak bertindak kerana emosi, dalam kes kepala babi, kita masih belum mendakwa sesiapa, kes itu juga masih disiasat,” kata beliau merujuk kepada insiden kepala babi hutan diletakkan di pekarangan dua buah masjid di Lembah Klang bulan lalu.
“Laporan polis telah dibuat. Jadi tanggungjawab kami untuk menyiasat, jadi tunggu hasil siasatan,” kata Hishammuddin.
Polis Melaka dijangka menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan Nasir kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan selewat-lewatnya hujung minggu ini atau awal minggu depan.
Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dipetik berkata, pasukan penyiasat yang dilantik mengendalikan kes itu selesai melakukan tugasan termasuk mendapatkan keterangan Nasir.
Polis dilaporkan menerima 45 aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu itu sejak hari kejadian, membabitkan 13 dari Perak, sembilan (Melaka), lima (Kedah), empat (Pulau Pinang, Pahang dan Selangor) dan masing-masing tiga dari Negeri Sembilan dan Johor.
Difahamkan juga sekurang-kurangnya 30 saksi dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes itu, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri dan wartawan.
Nasir, 61, yang meletak jawatan sebagai pegawai khas Perdana Menteri pada hari kejadian disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.
Pada 4 Feb lalu Nasir memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia berhubung kenyataan itu yang dianggap bersifat perkauman.
Nasir berkata beliau sedar mengenai pelbagai reaksi selepas ucapan yang dibuatnya pada seminar 1 Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka.
“Saya telah menjelaskan bahawa saya tidak berniat untuk membuat kenyataan berbaur perkauman atau menghina mana-mana kaum. Namun demikian, sesetengah pihak berpendapat sebaliknya dan saya telah meminta maaf atas sebarang kesalahan,” katanya.
Nasir berkata beliau telah meletak jawatan sebagai pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak bagi mengambil tanggungjawab akibat isu itu.

0 ulasan:
Catat Ulasan