| Jimadie Shah Othman | |||
| |
Selepas didapati bersalah membocorkan rahsia parti dan mengkritik pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali pada 29 Januari lalu, kedua-dua mereka dilarang "membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat."
Berbeza dengan Dr Hasan yang benar-benar berdiam diri, Khalid dilihat lebih bijak menyentuh beberapa isu yang dianggap sensitif dalam parti, antaranya berhubung pergolakan dalamannya.
Semakan di blog Dr Hasan mendapati, selepas didapati bersalah, bekas penceramah popular itu hanya memuatkan laporan aktivitinya sebagai exco agama dan ADUN Gombak Setia sahaja.
Manakala Khalid pula hanya sekali menyentuh berhubung pertuduhan terhadapnya dalam blog.
Bagaimanapun, beliau - sambil menegaskan tulisan itu bukan kritikan atau bantahan terhadap keputusan jawatankuasa disiplin PAS - memuatkan kembali pertuduhan jelas dan jawapannya kepada jawatankuasa tersebut.
'Menyiku' kembali
Selain artikel berjudul 'JK disiplin - Penjelasan berhubung pertuduhan', sehingga hari ini, Khalid memuatkan enam lagi artikel selepas Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut mengumumkan hukuman terhadapnya.
Bagaimanapun, selepas PAS digoncang kritikan demi kritikan dan apabila seorang exco Pemuda Abdullah Karim - yang paling lantang mendepani isu itu - mula diserang balas Tuan Ibrahim, Khalid kelihatan mula 'menyiku' keputusan tersebut.
Menulis di blognya pada 4 Februari, Khalid mengakui sedih kerana keputusan yang dijatuhkan terhadapnya mencemarkan imej PAS yang selama ini "dilihat sebagai 'weak link' di Selangor".
Beliau mempertahankan tindakan Abdullah yang didakwanya "tidak langsung berkepentingan ".
Walaupun tidak menulis lagi tentang nasibnya selepas itu, Khalid dilihat bijak memanipulasin tulisan-tulisan lain pemimpin PAS popular di blog yang dilihat cenderung membelanya.
Beliau antaranya memuatkan kembali tulisan bekas naib presiden PAS Ahmad Awang, peguam parti Hanipa Maidin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaaffar yang dimuatkan dalam blog masing-masing.
Keputusan 'bahan ketawa abad ini'
Ahmad semalam menimbulkan persoalan kenapa kesalahan Khalid tidak boleh dimaafkan dengan mempertimbangkan jasa dan pengorbannya terhadap parti.
Dalam masa yang sama, tambahnya, maksud 'rahsia parti' yang menyebabkan Khalid dihukum sendiri masih belum jelas dan memperlukan garis panduan.
Hanipa pula menghentam, "keputusan jawatankuasa disiplin yang memeningkan kepala" itu telah menjadi "bahan ketawa abad ini".
Sementara Dr Hamzah mencadangkan PAS membuat pindaan perlembagaan bagi membolehkan pengerusi jawatankuasa disiplin dipilih daripada kalangan yang benar-benar bebas dan tidak berkepentingan.
Sementara itu, masih tidak jelas sama ada Khalid - yang kini berada di luar negara - akan merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan.
Tindakan lanjut bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor itu dijangka dapat diketahui apabila beliau pulang ke tanah air pada 12 Februari ini.

0 ulasan:
Catat Ulasan