Sabtu, 13 Februari 2010

Lapangan terbang perlu sedia hadapi ancaman rampasan pesawat

UTUSAN ONLINE


SEPANG - Pihak berkuasa lapangan terbang di negara ini perlu bersedia menghadapi sebarang ancaman terhadap aspek keselamatan penerbangan awam termasuk kejadian rampasan pesawat.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, ia boleh dilakukan dengan mewujudkan mekanisme tindakan melibatkan semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab di lapangan terbang.

Katanya, penglibatan dan kerjasama polis, imigresen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta beberapa agensi lain mampu menangani kejadian yang tidak diingini.

"Langkah ini dapat memberi keyakinan kepada pengguna pengangkutan udara terhadap tahap keselamatan di setiap lapangan terbang.

"Pengusaha syarikat penerbangan asing juga akan berasa yakin dengan aspek keselamatan lapangan terbang di negara ini yang sentiasa dijadikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai Latihan Amal Table Top (Ops Rampas) Peringkat Kebangsaan di Pusat Latihan Malaysia Airports (MATC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Latihan tersebut melibatkan penyertaan Kementerian Pengangkutan, MKN, polis, Jabatan Penerbangan Awam, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (Air Asia).

Latihan melibatkan 99 orang peserta daripada 11 agensi itu bertujuan menguji tahap kesediaan jabatan dan agensi terlibat dalam menghadapi ancaman rampasan pesawat.

Menurut Azharuddin, dengan adanya kerjasama dalam bentuk latihan seperti itu setiap peraturan yang terkandung dalam Pelan Kemalangan Lapangan Terbang MKN akan dapat diuji.

Beliau berkata, latihan itu juga untuk mematuhi piawaian keselamatan negara-negara Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang perlu mewujudkan pelan kecemasan yang diuji mengikut pusingan ditetapkan.

"Penglibatan pihak yang terlibat menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan semua agensi sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman," katanya.

Ditanya mengenai masalah penyeludupan dadah di lapangan terbang pula, beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengatasi masalah tersebut.

0 ulasan: