Sabtu, 13 Februari 2010

Malik: Batal perarakan Maulidur Rasul hanya opsyen, bukan muktamad

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


KUALA LUMPUR— Kerajaan Pulau Pinang bertegas tidak pernah berhasrat untuk membatalkan perarakan sempena Maulidur Rasul tahun ini sambil menegaskan, surat yang disebarkan menerusi internet hanya opsyen yang dikemukakan oleh pegawai-pegawai kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim (gamabar kiri) berkata surat-surat berkenaan hanya opsyen untuk mengubah format sambutan selama tiga mulai 25 Feb ini.

Salah satu surat yang diedarkan, membawa kepala surat kerajan negeri, menyebut kerajaan negeri telah memutuskan untuk membatalkan perarakan tersebut.

Salinan surat (gambar bawah) itu dimuatkan di www.rembau.net, laman web peribadi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

“Kami mula membincangkan mengenai program ini sejak akhir bulan lalu dan satu surat telah dihantar kepada ketua jabatan-jabatan kerajaan agar menghantar kontinjen mereka menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul,” kata Abdul Malik kepada The Malaysian Insider.

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu diadakan dalam dua mesyuarat.

“Apabila kami mula membincangkan perkara ini, pandangan kerajaan negeri, kami ingin menerokai beberapa kemungkinan.

“Ada pandangan dikemukakan bahawa kami mengubah pendekatan sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad.

“Jabatan perlu mengambil tindakan ketika perbincangan berjalan, jadi ada surat pertama mengatakan akan ada perarakan sempena Maulidur Rasul. Hasil perbincangan, kerajaan negeri perlu berhubung dengan ketua jabatan-jabatan kerajaan, pandangan konsensus bahawa tidak akan ada perarakan tetapi kami akan mengubah dengan program-program lain,” katanya.

Bagaimanapun menurut Abdul Malik, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri minggu lalu memutuskan untuk meneruskan dengan perarakan tahunan ini.

Dalam kenyataan yang disertakan bersama dengan salinan surat berkenaan, Khairy mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng agar menjelaskan kesahihan kandungan surat berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, YAB Lim Guan Eng harus menjelaskan perkara ini dengan telus dan jujur sebagaimana cogan kata bagi pentadbiran beliau yang menjurus kepada tema Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

“Ini kerana, kami mendapati bahawa laman maya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah pun menyiarkan iklan berkenaan Majlis Perhimpunan Ummah yang bakal menggantikan perarakan Maulidur Rasul tersebut,” katanya.

Malam tadi, Lim mengesahkan bahawa perarakan itu akan diteruskan sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia sebagai satu pembohongan.

Dalam pada itu, laporan Bernama petang ini memetik Lim sebagai berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi menafikan dakwaan kononnya tiada perarakan Maulidur Rasul di negeri ini tahun ini, malahan pelbagai program telah diatur selama empat hari berturut-turut mulai 25 Feb sempena sambutan itu.

Lim berkata kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu.

“Kami terkejut dengan kenyataan palsu itu dan kerajaan negeri serta Jabatan Agama Islam sebenarnya telah merancang mengenai pelbagai program sempena sambutan ini tiga bulan lepas,” katanya kepada pemberita.

Utusan Malaysia semalam yang memetik Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melyau Pulau Pinang Mohd Nor Suhaili Jamali berkata kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang sebelum ini diadakan setiap tahun.

Laporan itu juga memetik Abdul Malik berkata sambutan Maulidur Rasul akan bermula dengan majlis bacaan yasin dan tahlil di semua masjid di seluruh negeri pada Khamis (25 Feb) malam.

Katanya perarakan Maulidur Rasul pula akan diadakan pada 26 Feb bermula 7 pagi di Padang Kota dan berakhir di Dewan Sri Pinang dan Timbalan Ketua Menteri 1 Mansor Othman dijadual menyertai perarakan itu.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah Perhimpunan Ummah di Dewan Sri Pinang, pameran ketamadunan Islam dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Bacaan Kitab Sirah Nabi Muhammad s.a.w pada 27 dan 28 Feb di Masjid Negeri, katanya.

0 ulasan: