Sabtu, 13 Februari 2010

Pertemuan ketua agama akan diadakan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Satu pertemuan bersama ketua bagi semua agama akan diadakan tidak lama lagi untuk membincang dan mencari jalan penyelesaian bagi menangani krisis antara agama yang boleh mencetuskan keharmonian di negara ini.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada mereka untuk mengadakan pertemuan itu, bagaimanapun pihak berkaitan memohon diberi tempoh bagi mengadakan perbincangan sesama mereka.

“Kita masih menunggu tindak balas daripada mereka (ketua agama),” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Debat Kefahaman Islam Antara Institusi Pengajian Tinggi kali ke-7 di sini, semalam.

Abdullah berkata, perjumpaan itu adalah untuk menguruskan masalah agama kerana pihaknya tidak mahu berlaku sebarang ketegangan yang boleh menjadi semakin parah. perbincangan ini akan diadakan secara berdialog dengan memastikan ia tidak akan menambah kekeliruan antara kaum.

“Apabila wujud kekeliruan sudah pastinya akan menimbulkan masalah yang lebih besar. Kita perlu saling memahami, bertolak ansur sebelum sebarang keputusan itu dibuat,” katanya.

0 ulasan: