Sabtu, 13 Februari 2010

Pesakit barah payu dara perlu sokongan suami, keluarga

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof dan Siti Nur Almizan Aripin


KUALA LUMPUR: Pesakit barah payu dara yang enggan menjalani rawatan bukan mengambil ‘jalan pintas’ untuk mati dengan membiarkan ia merebak atau bimbang suami mencari isteri baru, sebaliknya tidak mendapat sokongan padu daripada keluarga khususnya suami.

Ketua Biro dan Pentadbiran KanWork, Nor Aida Kamaruddin, berkata dalam kebanyakan kes ditemui di kalangan ahli mengatakan segelintir suami menjadikan penyakit itu sebagai punca untuk meleraikan ikatan perkahwinan dan apabila tidak mendapat sokongan daripada suami, isteri terpaksa menanggung sakit hingga ke akhir hayat.

“Pesakit memerlukan kumpulan sokongan seperti KanWork yang mana kami membantu wanita untuk terus kuat dan tegar mendapatkan rawatan. Dalam kebanyakan kes kami temui, bukan wanita enggan mendapatkan rawatan, tetapi selalunya suami yang mengabaikan mereka.

“Contoh paling mudah ialah apabila suami enggan menjaga anak ketika isteri melakukan rawatan , sedangkan ketika proses rawatan dijalankan, isteri terlalu lemah. Bagi mengelakkan daripada terus bergaduh, isteri akan menerima apa saja perbuatan suami kerana tidak berdaya akibat sakit yang dialami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, sokongan boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuk memahami tekanan dihadapi pesakit dan menerima hakikat kehilangan payu dara, malah kaedah rawatan berkenaan memakan masa bertahun-tahun.

Selain itu, katanya, kes perceraian akibat isteri sakit juga bukanlah sesuatu yang asing walaupun tidak ada kajian khusus mengenainya.

KanWork ditubuhkan sejak lima tahun lalu bertujuan memberikan sokongan kepada pesakit dan keluarga pesakit berhadapan barah payu dara. Sokongan amat diperlukan kerana barah bukan saja mengubah kehidupan wanita sebaliknya seluruh ahli keluarga.

Kelmarin, Pengarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed menyatakan kajian mendapati ada pesakit barah payu dara sanggup mengambil risiko berdepan kematian daripada mendapatkan rawatan terutama pembedahan membuang payu dara kerana bimbang suami mencari wanita lain.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payu Dara (BCWA), Ranjit Kaur, berkata kebanyakan pesakit barah payu dara akan berdepan masalah psiko seksual yang menyebabkan mereka hilang keyakinan sebagai seorang wanita, isteri dan ibu.

“Apabila keyakinan diri hilang bersama payu dara yang dianggap sebagai organ seksualiti, hubungan antara suami isteri turut terjejas sehingga kadangkala menjadi punca suami mencari pengganti baru.

“Akibat masalah psiko seksual dialami, pesakit barah payu dara tidak suka didekati dan akan mengelak diri daripada melakukan hubungan intim, bersama suami. Keadaan itu dialami semua wanita tidak kira Melayu, Cina dan India,” katanya.

Bagaimanapun, Ranjit meminta supaya kajian itu dibuat lebih mendalam dengan menjadikan suami bekas penghidap barah payu dara sebagai responden bagi mengetahui sejauh mana masalah psikologi mengganggu mental pesakit dan keluarga pesakit barah payu dara.

0 ulasan: