Sabtu, 13 Februari 2010

Tiga beradik perempuan edar 126 kilogram ganja

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Tiga beradik perempuan termasuk seorang berusia 15 tahun ditahan bersama 258 ketulan ganja mampat seberat 126 kilogram bernilai lebih RM300,000 dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Bandar Baru Sentul di sini, kelmarin.

Ketiga-tiga disyaki pengedar ditahan bersama seorang lelaki dipercayai tunang seorang daripada tiga beradik itu. Dua lagi perempuan berusia 19 dan 25 tahun.

Difahamkan, kondominium itu turut dijadikan stor penyimpan dan pusat pembungkusan ganja terbesar di ibu negara sebelum diagih dan diedarkan kepada pengedar di bandar raya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin, berkata serbuan dilakukan jam 11.10 pagi dan polis menemui ganja di ruang tamu serta bilik kondominium berkenaan.

“Pemeriksaan membawa kepada penemuan 258 ketulan ganja mampat pelbagai saiz yang dibalut dengan plastik lutsinar serta beberapa bungkusan kecil dadah itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai RM200,000, penimbang, dua motosikal serta sebuah kereta Proton Satria dipercayai hasil kegiatan sindiket terbabit sejak setahun lalu.

“Siasatan awal mendapati dadah itu dibawa masuk ke negara ini dari Utara tanah air, manakala unit kondominium berkenaan disewa sebagai pusat operasi mereka di Lembah Klang.

“Polis masih menyiasat sumber bekalan dadah itu dan rangkaian sindiket terbabit. Kita percaya masih ada saki baki kumpulan itu dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan,” katanya.

Semua suspek direman dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.

0 ulasan: