SUNGAI PETANI - Bayi lelaki yang ditinggalkan di dalam Masjid Jamek Al-Makmur, Sungai Lalang dekat sini semalam, akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara.
Pengarah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Dr. Harif Fadzilah Che Hashim berkata, pemeriksaan mendapati bayi seberat 2.4 kilogram itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya perlu menunggu keputusan ujian darah yang dijalankan ke atas bayi itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
"Berdasarkan pemeriksaan, bayi itu dipercayai berusia 36 minggu (dalam kandungan) sebelum dilahirkan. Kita percaya besar kemungkinan bayi itu baru saja dilahirkan pagi semalam, sebelum ditinggalkan di tempat kejadian.
"Kita juga sudah jalankan ujian darah dan keputusannya akan diketahui dalam tempoh terdekat. Jika ujian darah yang dijalankan tiada masalah, kita akan serah segera kepada JKM," katanya kepada pemberita selepas dikunjungi Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof di Wad Melor 2, HSAH, di sini hari ini.
Hadir bersama ialah Pegawai JKM Daerah Kuala Muda, Mohamad Md. Nor.
Semalam, seorang bayi lelaki comel yang berkulit putih melepak ditemui ditinggalkan di atas lantai beralaskan tikar di belakang Masjid Jamek Al-Makmur di Taman Makmur, Sungai Lalang, dekat sini.
Bayi itu ditemui oleh seorang ahli jawatankuasa masjid yang sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat Subuh pada pukul 5.15 pagi.
Ketika ditemui, bayi berkenaan menggigil akibat kesejukan. Dia hanya dibalut dengan sehelai tuala manakala pusatnya terdapat kesan darah akibat digigit semut. Di sisinya terdapat sebotol susu.
Sementara itu, Mohamad memberitahu, pihaknya bersama polis sedang berusaha mengesan ibu bapa bayi terbabit.
Beliau berkata, buat sementara waktu, bayi itu akan diletakkan di bawah pengawasan JKM di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Kepala Batas, Seberang Perai, mengikut Seksyen 25 Akta Kanak-Kanak 2001.
"Bayi itu akan diberikan perlindungan selama 30 hari. Dalam tempoh itu, kita akan berusaha mengesan warisnya," katanya.
Jika selepas tempoh terbabit tamat dan tiada waris dikesan, pihaknya akan mendapatkan perintah tetap mahkamah untuk diserahkan kepada keluarga angkat yang layak.
"JKM akan menentukan bakal keluarga angkat termasuk kemampuan menjaga bayi ini. Namun begitu, kita amatlah mengharapkan waris bayi ini segera tampil," katanya.
Tambah beliau, buat masa ini, pihak berkuasa belum mengenal pasti identiti mereka yang terlibat dalam kes terbabit.
Waris kepada bayi tersebut atau mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di talian 04-4212222 atau pejabat JKM Daerah Kuala Muda di talian 04-4204900.
Dalam perkembangan berkaitan, Shahanim berkata, Puteri UMNO bersedia mengambil bayi terbabit untuk dijadikan anak angkat sekiranya tiada pihak tampil dalam tempoh ditetapkan.
Pada masa sama, katanya, Puteri UMNO akan turut mengambil pelbagai langkah jangka panjang yang lebih efektif dalam usaha membanteras gejala buang bayi.

0 ulasan:
Catat Ulasan