Selasa, 18 Mei 2010

Gaji Minimum Bakal Gugat Hubungan Antara Kaum

SUARA KEADILAN


SHAH ALAM - Pengumuman Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berhubung perlaksanaan akta gaji minimum sebagai alat penghapus kemiskinan akan menyebabkan diskriminasi kaum di dalam pasaran kerja dan memburukkan hubungan antara kaum di Malaysia.

Mengulas isu berkenaan, Fellow Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Afif Abdullah berkata pelaksanaan akta gaji minimum sebenarnya akan memusnahkan peluang pekerjaan.

"Saya menolak penggunaan akta gaji minimum yang kononnya untuk menghapuskan kemiskinan di negara ini.

"Sememangnya telah diakui oleh pakar ekonomi, akta gaji minimum akan mengakibatkan pengangguran di kalangan orang miskin.

"Jika dilihat pada demografi lapisan masyarakat yang miskin, kita dapati mereka yang miskin itu terdiri daripada golongan berpendidikan rendah, cacat anggota badan, menanggung keluarga besar dan terdiri dari kaum yang tertentu.

"Apabila saya menyebut dari kaum tertentu, ianya merujuk kepada hakikat bahawa ada kaum yang memiliki lebih ramai orang miskin berbanding kaum lain," ujar Afif.

Menurutnya, berpandukan kepada fakta sejarah di Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, mereka yang berketurunan Afrika akan menawarkan tahap gaji yang lebih rendah bagi membolehkan mereka mendapat peluang kerja yang terhad.

"Kesatuan sekerja pula dimonopoli pekerja kulit putih kemudian mula mendesak kerajaan memperkenalkan gaji minimum, kononnya untuk membantu kaum kulit hitam yang lebih miskin.

Tambah Afif, oleh kerana tiada beza dalam kos menggaji pekerja kulit hitam atau pekerja kulit putih, para majikan akan mengutamakan kaumnya dan tujuan akta gaji minimum itu sebenarnya untuk menghapuskan kelebihan pekerja kulit hitam untuk bersaing di pasaran kerja dan menyebabkan kadar pengangguran pekerja kulit hitam meningkat dan hubungan antara kaum bertambah buruk.

"Senario yang serupa juga boleh berlaku di Malaysia di mana majoriti golongan pekerja terdiri dari kaum tertentu, manakala majoriti golongan majikan terdiri dari kaum tertentu.

"Saya khuatir pelaksanaan gaji minimum ini akan menggalakkan diskriminasi kaum di dalam pasaran kerja dan memburukkan hubungan antara kaum di Malaysia," kesal Afif lagi.

0 ulasan: