Isnin, 17 Mei 2010

Ibrahim Tak Puas Hati Pada Cina Lagi

Oleh Noor Safinas


KUALA LUMPUR : Presiden Perkasa, Ibrahim Ali Perkasa sekali lagi tidak puas hati apabila mempertikaikan tahap sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) di Sibu semalam.

Beliau mendakwa pengundi-pengundi Cina di kawasan Sibu tidak menghargai janji-janji projek dan bantuan kewangan dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak ketika berkempen.

“Pengundi-pengundi Cina tidak menghargai apa yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada mereka, misalnya menyokong sekolah vernakular dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, masyarakat Cina secara terbuka menyokong dasar DAP.

“Pengundi Cina mahukan cara Cina sendiri, meskipun Bumiputera terpaksa menelan tolak ansur yang dibuat oleh BN dalam memenuhi kehendak mereka,” katanya lagi.

Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor tiga minggu lalu menyaksikan BN merekodkan kemerosotan sokongan pengundi Cina.

Sehubungan itu, Perkasa meminta BN mengkaji semula janji bantuan kewangan dan projek pembangunan kepada masyarakat Cina.

Saranan hukuman itu tidak mendapat sokongan pemimpin-pemimpin BN dan Umno.

Bagaimanapun kata Ibrahim, keputusan di Sibu sebenarnya satu pengajaran kerana ia memotivasikan kaum Melayu dan Bumiputera agar lebih bersatu padu selepas ini.

Kerusi itu yang mempunyai majoriti pengundi Cina dirampas oleh DAP yang diturunkan oleh Pakatan Rakyat.

“Mereka tidak boleh meminda perlembagaan (negara). Jika begitu ia akan membawa kepada malapetaka,” katanya.

Calon DAP Wong Ho Leng memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 398 undi.

Beliau memperolehi 18,845 undi bagi mengalahkan calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas Narawi Haron yang beroleh 232 undi.

0 ulasan: