Isnin, 17 Mei 2010

KOGUSA SOKONG PENDEDAHAN KEZALIMAN FELDA?


TIDAK LAKU..... Jika tandatangan Perdana Menteri ketika itu tidak laku, tandatangan siapa lagi yang akan dihormati FELDA?

Oleh: UMMI HALIZA HALIM


PERSATUAN Kontraktor Gugusan Felda Sahabat (KOGUSA) menyokong penuh pendedahan yang dibuat Sabahkini.net berhubung kepincangan dan kegagalan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Gugusan Felda Sahabat.

Presiden KOGUSA, Nasarullah Dollah berkata, pihaknya lebih menderita daripada para peneroka Felda yang diambil dan dijadikan ‘Lembu Tenusu’ di sebuah tanah rancangan yang dibangunkan di atas kesengsaraan anak negeri yang terhimpit oleh Dasar ‘Kuku Besi’ Felda.

“Kami adalah kumpulan yang paling malang kerana kami yang membuka Felda ketika Felda masih hutan rimba dan terpaksa menggadai nyawa disebabkan ketika itu Gugusan Felda Sahabat adalah kawasan lanun atau mundu,” ujar Nasarullah sebagai mengulas kenyataan Ketua Cawangan UMNO Tanjung Labian dan beberapa responden yang disiarkan Sabahkini.net.

Tegas Nasarullah, setelah Felda maju dan mampu berdikari, mereka bertindak kejam meletakkan pasir ke dalam periuk nasi lebih 180 kontraktor bumiputera Sabah yang bernaung di bawah KOGUSA dengan menamatkan kontrak penyelenggaraan ladang tanpa sebarang alasan dan tanpa peri kemanusiaan.

Lebih mendukacitakan mereka, kata Nasarullah, Felda bertindak menggantikan mereka dengan kontraktor bukan bumiputera atau menyerahkan kerja yang mereka perolehi melalui jalan sah kepada subkontraktor yang bukan bumiputera.

“Jika bukan kami yang membuka ladang Gugusan Felda Sahabat, sampai sekarang mungkin Felda kempunan kerana ketika itu tidak ada kontraktor yang berani berhadapan dengan serangan lanun yang menjadikan kawasan ini sebagai sarang jenayah,” ujar Nasarullah yang kesal dengan sikap kurang ajar dan tidak bertamaddun para pegawai Felda yang bersilih ganti didatangkan daripada Semenanjung Malaysia untuk ‘memerintah’ di Wilayah Persekutuan Baru Felda yang belum dimasyhurkan.

Para pegawai Felda yang ‘bersultan di mata, beraja di hati dan berasuah di jari’ bukan sahaja gagal melaksanakan tugas dengan sempurna, malah lebih gemar ‘memancung sebelum bicara’ kerana kebanyakan kontrak kerja ahli KOGUSA ditamatkan tanpa sebab yang munasabah dan diberikan kepada subkontraktor yang tidak berpengalaman tetapi boleh memberikan mereka wang dan segala kemudahan.

Felda telah menjadi ‘Mahkamah’ untuk menjatuhi hukuman bersalah kepada ahli KOGUSA yang dibebani dengan pelbagai tuduhan remeh temeh di dalam Spesifikasi Pelaksanaan Kerja (SPK) dan sesuka hati memotong wang tahanan atau mengenakan denda tanpa sebarang prosiding mahkamah.

Sikap ‘bersultan di mata, beraja di hati dan berasuah di jari’ di Felda Gugusan Sahabat begitu ketara kerana mereka langsung tidak menghormati Perdana Menteri Malaysia, ketika itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Tun) yang mengarahkan Felda memberikan kembali kontrak kerja kepada semua Ahli KOGUSA yang ditamatkan tanpa sebab dan menyambung semua SPK yang bakal tamat tempoh.

Kata Nasarullah, kesemua ahli KOGUSA adalah ‘Hardcore’ UMNO yang bukan sahaja telah menyumbang sumber dana kepada UMNO malah turut berkempen di Kepala Batas pada Pilihanraya Umum 2008 bagi memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional yang ketika itu di ambang genting.

“Ketika berkempen, kami telah menemui Pak Lah untuk mengadu untung nasib kami yang menjadi bahan uji kaji Felda setelah banyak kontrak ahli kami ditamatkan tanpa sebab; sedangkan mereka telah berjasa membangunkan tanah Felda dengan darah dan air mata,” ujar Nasarullah yang kesal kerana pegawai Felda menjadikan surat sokongan Pak Lah sebagai ‘Warga Tong Sampah.’

Menurut Nasarullah, mereka menjangkakan pertemuan dengan Pak Lah memberikan sinar harapan yang baru, namun mereka bagaikan menggapai bintang kerana Felda seakan menganggap surat Pak Lah yang mengarahkan agar kontrak mereka tidak ditamatkan dan diberi peluang yang lebih besar bagaikan ‘lampin pakai buang’.

“Walaupun ditamatkan kontrak, namun ahli KOGUSA tetap bersemangat berkempen membantu UMNO dalam pilihanraya umum 2008 di Pulau Pinang dan menggempur kubu pembangkang. Mungkin inilah hadiah untuk kami daripada UMNO?” ujar Nasarullah yang tidak menolak kemungkinan ahlinya akan berpaling tadah pada pilihanraya umum akan datang bagi memberikan pengajaran kepada UMNO di atas keculaparan dan kekurangan ajaran pegawai Felda.

Nasarullah turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap semua Pengurus di Gugusan Felda Sahabat yang kaya raya setelah mendapat ‘Lampu Alladin’ dan berjanji ahli KOGUSA akan memberi kerjasama mendedahkan setiap kejalangan pegawai Felda yang menjadikan rasuah sebagai ‘Sunnah’ dan penyalahgunaan kuasa sebagai ‘Wajib’ dalam kehidupan mereka.

0 ulasan: