Khamis, 17 Jun 2010

4 Pelajar UKM Berjaya Teruskan Injunksi,9 Julai ‘Bicara inter parte’.


(pix1) - Ashok (kiri) berbincang  bersama Hilman (kanan) sambil diperhatikan Ismail (tengah) Oleh Fazy Sahir


KUALA LUMPUR: Empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini berjaya meneruskan permohonan injuksi bagi menyekat universiti terbabit daripada mendakwa mereka di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas Datuk Aziah Ali dalam kamarnya memutuskan 9 Julai ini bagi meneruskan perbicaraan "inter parte".

Menurut peguam bela pelajar terbabit Ashok Kandiah, injuksi tersebut akan diteruskan sehingga kes selesai.

"Mahkamah benarkan injuksi kita sehingga kes tersebut selesai maka perbicaraan inter parte akan dimulakan kelak," katanya yang ditemui pemberita di luar mahkamah.

Empat pelajar berkenaan ialah Hilman Idham, 21, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai masing-masing 22 tahun.

Mereka merupakan pelajar ijazah jurusan Sains Politik di universiti tersebut.

Keempat-empat pelajar berkenaan mencabar tindakan menghadapkan mereka di Mahkamah UKM di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Mereka mencabar Seksyen 15(5)(A) Akta AUKU itu yang didakwanya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Dalam pada itu, Hilman memaklumkan bahawa beliau baru sahaja menerima surat penggantungan jawatan sebagai Presiden Kelab Mahasiswa Sains Politik oleh pihak universiti pagi tadi.

Surat tersebut dihantar melalui pos bertarikh semalam kepada keluarganya di Klang dan penggantungan itu telah mula berkuatkuasa 2 Jun lalu.

"Saya baru sahaja menerima surat daripada UKM yang menggantung kedudukan saya sebagai presiden kelab tidak boleh menjalankan sebarang sehingga perbicaraan selesai sesuai dengan perenggan 52 (7) Perlembagaan UKM.

"Melalui injuksi itu mahkamah sudah mengeluarkan perintah bahawa tiada sebarang tindakan akan dikenakan, tetapi nampaknya pengurusan UKM tidak mengikut perintah mahkamah.

"Malah saya yakin kawan saya juga akan menerima nasib yang sama," katanya. Sementara itu, pihak defendan terdiri daripada kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

0 ulasan: