KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengkaji semula Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 bagi membolehkan tanah yang diberikan kepada Felda Plantations diambil kembali dan dimanfaatkan untuk penempatan generasi kedua.
Menjawab soalan lisan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR – Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata, keputusan itu dibuat berdarkan empat bukti utama kejayaan Felda membantu nasib peneroka.
Ahmad berkata, Felda sehingga kini berjaya mewujudkan 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan penglibatan 225,270 peneroka.
"Selain itu, penempatan dan terancang dengan tanaman ghetah dan sawit telah berjaya mengeluarkan peneroka dariapda kitaran belenggu kemiskinan serta diiktiraf sebagai uasaha pembangunan tanah paling berjaya.
"Ketiga, pengurusan tanah secara berkelompok dapat menyediakan prasarana, penyaluran bantuan, khidmat nasihat dan pemantauan secara lebih teratur dan cekap," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Akta ini juga, katanya, adalah untuk kepentingan peneroka kerana dapat mengelakkan pemecahan tanah yag akhirnya membawa kepada saiz kecil yang tidak ekonomik dan mengelakkan daripada tanah tergadai.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak bercadang untuk memberikan 340,882 hektar tanah milik Felda yang diuruskan oleh Felda Plantations kepada generasi baru peneroka.
"Jika tanah itu diagihkan kepada kira-kira 1.6 juta generasi baru peneroka, setiap orang hanya akan mendapat 0.2 hektar atau setengah ekar. Apa yang ada dengan setengah ekar? Nak tanam kelapa sawit pun tak boleh.
"Memang itu tindakan popular, tapi kita tidak boleh laksanakan kerana agihan tidak akan dapat diberikan secara sama rata," katanya.
Ahmad berkata kerajaan bercadang untuk membuka lagi Felda dengan model baru bagi rakyat miskin tegar tanpa mengira kaum jika ada kerajaan negeri yang ingin memberikan tanah.
Beliau turut mengumumkan purata enam tahun keuntungan bersih tanah 340,882 hektar yang diusahakan secara komersil oleh Felda Plantations ialah sebanyak RM1.1 bilion setahun.
RM662 juta beli menara Felda?
Katanya, Felda dalam keuntungan itu, Felda membelanjakan sebanyak RM662 juta bagi membeli menara Felda 50 tingkat berhadapan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan harga RM935 kaki persegi pada tahun 1998.
Namun kini katanya kos telah pun meningkat akibat harga kaki persegi naik sehingga RM1,400 sehingga RM1,500 dan kini masih lagi dalam proses pembinaan.
Ahmad juga mengumumkan kemerosotan tunai Felda daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.
"Walaupun tunai merosot sebanyak RM2.73 bilion, harta semasa dan bukan semasa aset Felda meningkat daripada RM9.17 bilion pada tahun 2004 kepada RM15.37 bilion pada 2009.
"Begitu juga dengan harta Felda yang meningkat kepada RM 6.2 bilion daripada tahun 2004 hingaa 2009.

0 ulasan:
Catat Ulasan