Khamis, 17 Jun 2010

BERSEKUTU PERLU 'REBRANDING' SEBELUM PRU13?

Oleh: GONOD M


KEPIMPINAN parti parti kecil pembangkang khususnya Parti Barisan Rakyat Sabah (BERSEKUTU) perlu melalui proses ‘rebranding’ sebelum ianya dibawa turun ke gelanggang PRU13 supaya kelibat politiknya benar-benar ‘menyengat’ dan mampu menumpas lawan dengan pukulan ‘K.O’.

Jika tidak, gagasan PR dan parti-parti pembangkang tempatan Sabah dan Sarawak turut menerima padahnya sekiranya kualiti kepimpinan yang ada pada Parti Bersekutu ketika ini, tidak ada perubahan mahupun peningkatan yang bersesuaian dengan situasi politik ketika ini yang jauh berbeza di zaman 80-an.

Terbaru, gelagat Bersekutu menggemparkan lagi ramai pemerhati politik di negeri ini yang senantiasa mengikuti perkembangan politik semasa tanah air kerana secara tiba- tiba Presiden parti itu mencadangkan nama PR ditukarkan kepada Pakatan Malaysia (PM) kononnya PR itu yang merangkumi DAP, PAS dan PKR yang lahir di Semenanjung dan tidak melambangkan suara seluruh Negara; disebabkan tidak melibatkan parti pembangkang tempatan di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, Bersekutu turut mendefinasikan PR sebagai Pakatan Semenanjung; kononnya akan memusnahkan kuasa autonomi Sabah jika PR ditakdirkan dapat menumbangkan kerajaan BN dan menubuhkan kerajaan baru di Sabah.

Bertolak dengan andaian itu membuatkan Bersekutu tidak akan berkompromi dan hanya bersetuju PR bertanding di kawasan-kawasan Parlimen sahaja.

Keraguan Parti Bersekutu itu menjadikan ramai pemerhati ‘gelihati’ dan melabelkan kepimpinan parti itu sebagai ‘tidak peka dengan hal ehwal politik semasa’ di negara ini yang mendorong mereka terlalu takut kepada ‘bayang-bayang mereka sendiri’ sebelum turun gelanggang iaitu pada PRU13 kelak.

Persoalannya sekarang, apakah Bersekutu sudah meramalkan mampu menawan semua kerusi DUN Sabah atau sekurang-kurang mendapat 2/3 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan baru di Sabah selepas PRU13 tanpa kerjasama rakan-rakan dalam pembangkang termasuk PR?

Sedangkan pada PRU12 keputusan undi yang diperolehi oleh calon-calon Parti Bersekutu kebanyakannya ‘hilang deposit’. Malahan jika dibandingkan dengan perolehan undi yang dicapai oleh calon-calon PR, khususnya PKR jauh lebih baik daripada calon Parti Bersekutu.

Segmen persoalannya di sini ialah, adakah hala tuju dan matlamat perjuangan pembangkang Sabah berbeza dengan perjuangan PR atau mungkin Bersekutu meniru gaya pertarungan sukan Gusti ala ‘Royal Ramble’ (suatu sistem pertarungan tanpa kawan atau regu).

Sepatutnya perkara yang lebih baik dan perlu dilakukan untuk mempastikan misi dan visi perjuangan barisan pembangkang, di mana gagasan pembangkang harus bertekad bahawa akan ada satu mekanisma yang lebih komprehensif di kalangan parti-parti pembangkang seperti PR (DAP,PAS dan PKR), SAPP, Bersekutu dalam membentuk kesepakatan yang jitu bagi menumpaskan gagasan BN.

Sebaliknya pakatan pembangkang harus menjauhi dari mengeluarkan kenyataan kenyataan secara terbuka dan sensitif yang boleh menghancurkan kesepakatan itu sendiri sebelum bertarung di dalam PRU13.

Seperkara lagi, apakah rasionalnya cabaran Timbalan Presiden Parti Bersekutu yang hanya akan memotong rambutnya yang disimpannya sejak dari kecil lagi jika ada usahawan yang sanggup menyumbangkan RM1 juta kepada Parti Bersekutu yang kemudiannya akan didermakan kepada pelbagai sekolah dan badan kebajikan yang memerlukan.

Apakah ‘Hikmahnya’ jika selepas rambut itu dipotong? Atau apakah Parti Bersekutu ‘bernazar’ kerana bertekad mahu menumbangkan kerajaan BN tetapi semua alasan itu ‘tidak masuk akal’ dan gelagat itu boleh disifatkan sebagai ‘kenakalan’ dan bukan ‘kematangan berpolitik’ lebih-lebih lagi ia diungkapkan oleh seorang ‘Timbalan Presiden’.

0 ulasan: