Isnin, 14 Jun 2010

Bukit Bendera bahagian pertama ‘uji’ kaedah baru pemilihan Umno

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR— Umno Bukit Bendera akan muncul sebagai bahagian pertama parti itu menguji keberkesanan sistem pemilihan baru — yang diperkenalkan susulan pindaan perlembagaan tahun lalu.

Bahagian itu kini menunggu tarikh untuk mengadakan pemilihan baru selepas kesemua ahli jawatankuasanya meletakkan jawatan baru-baru ini.

Bekas ketua Umno Bukit Bendera Datuk Abdul Jalil Ariffin menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang menarik untuk dilalui ahli bahagian itu.

“Kalau betul kami akan menggunakan sistem pemilihan yang baru, saya rasa ia sesuatu yang menarik.

“Bagaimanapun saya perlu mendapatkan butiran lanjut daripada (badan) perhubungan negeri... sebab saya tak hadir mesyuarat perhubungan negeri semalam,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

Barisan kepimpinan bahagian itu meletakkan jawatan akhir Mac lalu bagi memberi ruang kepada pemilihan baru iaitu melantik semula ketua lama mereka.

Abdul Jalil memberitahu pihaknya akan menanti tarikh yang sesuai daripada Badan Perhubungan Negeri Pulau Pinang.

“Lazimnya Badan Perhubungan Negeri akan memberi beberapa tarikh cadangan, dan kami akan pilih salah satu mengikut kesesuaian kami,” katanya lagi.

“Tentang sistem pemilihan baru, saya pun belum begitu jelas, saya kena tunggu maklumat perhubungan negeri,” katanya.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan ahli jawatankuasa Umno Bukit Bendera yang baru akan diadakan bulan depan dan mengguna pakai peraturan baru pemilihan.

Zahid berkata peraturan baru itu antara lain menetapkan semua anggota Umno yang telah menganggotai parti melebihi tiga tahun layak menjadi calon.

Mereka hanya perlu buat pendaftaran seminggu sebelum pemilihan diadakan.

Sebelum ini Umno mengamalkan sistem kuota iaitu seseorang harus menerima sejumlah pencalonan dari peringkat cawangan sebelum layak bertanding bagi sebarang jawatan pada peringkat bahagian.

Pada perhimpunan agung khas parti Oktober lalu, Umno meminda perlembagaannya yang antara lain menyaksikan pemansuhan sistem kuota itu bagi semua peringkat pemilihan.

Pemilihan baru ahli jawatankuasa bahagian itu bagi mengisi kekosongan selepas kesemua 36 anggotanya melepaskan jawatan pada 29 Mac lepas.

Peletakan jawatan itu bagi membuka laluan untuk memilih semula Datuk Ahmad Ismail sebagai ketua bahagian.

Ahmad digantung daripada parti selama tiga tahun bermula September 2008 selepas didakwa mengeluarkan kenyataan sensitif menyinggung perasaan orang Cina semasa berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Bagaimanapun pada Disember lepas Majlis Tertinggi Umno memutuskan menarik balik penggantungannya.

0 ulasan: