Khamis, 17 Jun 2010

JHEOA Patut Dimansuhkan Kerana Gagal Bela Ekonomi Orang Asal

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR - Ahli Parliman Kuantan, Fuziah Salleh membidas kegagalan peranan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) membela kebajikan dan kesejahteraan golongan Orang Asal di negara ini sehingga menyebabkan kedudukan ekonomi mereka berada dibawah tahap paras kemiskinan.

Dalam soal jawab lisannya pagi tadi, Fuziah bertanya adakah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersedia untuk memansuhkan JHEOA di atas kegagalan melaksanakan fungsinya.

"Kita melihat kedudukan ekonomi Orang Asal berada di bawah paras kemiskinan dan ini yang kita kesalkan kerana JHEOA gagal memainkan peranannya dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka.

"Dari segi pemberian tanah, kerajaan tidak memandang serius soal tersebut, tanah yang diberikan hanya cukup untuk mereka bercucuk tanam sahaja bagi kegunaan sendiri bukannya dengan tujuan menjana ekonomi mereka.

"Tindakan kerajaan mengambil tanah pertanian getah mereka melalui Felda ataupun Risda menyebabkan jumlah pandapatan mereka terus menurun. Atas tindakan pengambilan tanah tersebut yang ditukarkan dengan pemberian saham adalah satu langkah yang tidak bertepatan.

"Konsep saham yang diberikan oleh Orang Asal menyebabkan mereka hanya menerima pendapatan sebanyak RM500 sahaja setahun, kalau sebelum ini mereka yang menguasa sendiri tanaman getah tersebut, mereka menerima sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.

"Melihat kepada perkara tersebut pengambil alihan tanaman tersebut bukan meningkatkan ekonomi Orang Asal malah mengurangkan lagi pendapatan mereka," jelas Fuziah di Dewan Rakyat.

Tambahnya lagi jika kerajaan tidak meletakkan soal ekonomi Orang Asal pada satu tahap yang serius, maka langkah yang perlu diambil oleh kerajaan ialah memansuhkan JHEOA bagi mengembalikan semula kepercayaan Orang Asal.

0 ulasan: