Selasa, 15 Jun 2010

Kembalikan Hak Keistimewaan Orang Asal

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM - Masyarakat Orang Asal Kampung Panderas, Kuala Krau mahu kerajaan Umno-Barisan Nasional melaksanakan dasar tanah yang adil bagi membina kehidupan yang lebih selesa dan masa depan generasi muda Orang Asal lebih terjamin.

Orang Asal yang menganggap "Tanah Umpama Nyawa, Nyawa Adalah Adat dan Adat Adalah Budaya" menyuarakan keluhan mereka kepada rombongan lawatan kerja Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin ke beberapa lokasi penempatan etnik itu di Kuala Krau bermula Sabtu dan berakhir semalam.

Lawatan berkonsep kemasyarakatan turut disertai Pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor (Pantas) bagi menyampaian bantuan kepada masyarakat terbabit.

Tidak ketinggalan menyertai lawatan, Ketua KEADILAN Cabang Cheras, Felicia Ling dan wakil Wanita KEADILAN Selangor, Ginie Lim.

Program yang bermula pada jam 4 petang pada hari Sabtu dimulakan dengan sesi bersama masyarakat di Kampung Panderas.

Zuraida bersama rombongan juga melawat masyarakat Orang Asal Kampung Paya Luas di Felda Jenderak Utara pada tengahari diikuti sesi beramah mesra bersama penduduk Orang Asal di Kampung Berdut dan Kampung Rekoh.

Program dua hari itu diakhiri dengan majlis ceramah yang disampaikan oleh Zuraida di Felda Jengka 22 bersama-sama dengan Pengerusi KEADILAN Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Triang, Leong Ngah Ngah.

0 ulasan: