Oleh Faiza Zainudin dan Mohd Iskandar Ibrahim
Usaha bendung penularan kegiatan Jemaah Islamiah KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memantau pergerakan kira-kira 6,000 pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi di Asia Barat bagi membendung penularan kegiatan Jemaah Islamiah (JI) yang merekrut mereka sebagai ahli kumpulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan bagi menangani masalah itu.
“Kita juga sudah melantik pegawai dan mengarahkan penjaga di setiap asrama pelajar terbabit untuk memantau setiap aktiviti pelajar kerana bimbang pelajar yang kebanyakannya melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan Islam itu terpengaruh dengan konsep berbentuk militan.
“Kita sudah bincang bagaimana nak jaga pelajar ini supaya kita ada kesepakatan untuk memantau mereka dari semasa ke semasa sebab pelajar kita terutama di Mesir ramai, jadi setiap rumah ada penjaga bagi memberi pandangan dan nasihat.
“Kedutaan kita juga turut menempatkan pegawai mereka... kita bimbang kerana anak ini ada semangat kecintaan jihad tapi kalau disalah guna konsep ini akan lari daripada jihad yang sebenar.
“Kebimbangan kita jika ada kelompok JI, dia akan membuat takrifan sendiri dan menghalalkan perkara berkaitan keganasan,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama media di sini, semalam.
Turut hadir Timbalannya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay yang dihubungi berkata sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kegiatan militan membabitkan kira-kira 50,000 pelajar negara ini di seluruh dunia.
Daripada jumlah itu, katanya, sebahagian pelajar Malaysia sama ada yang ditaja kerajaan atau persendirian melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang agama di Asia Barat membabitkan negara Mesir, Jordan, Yaman dan Syria.
“Kita memang pantau, walaupun ada di sesetengah tempat tidak mempunyai kedutaan, kita pantau dari sini atau negara terdekat.
“Setakat ini tidak ada pelajar kita terbabit dalam kegiatan JI. Ada kes pelajar kita ditahan di luar negara, tetapi bukan berkaitan kes militan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, polis akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam masa terdekat mengenai isu militan membabitkan pelajar.
“Dalam pertemuan itu nanti, kita akan menerangkan betapa seriusnya masalah ini (pembabitan pelajar dalam militan) dan mencadangkan beberapa langkah efektif yang harus diberi perhatian.
“Selain itu, kita juga mengharapkan maklum balas daripada kementerian, lebih-lebih lagi dalam usaha menyelaraskan bentuk kerjasama untuk menangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Musa berkata, pihaknya memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan soal keselamatan negara.
Gerakan JI di negara ini dilaporkan sudah merekrut sekurang-kurangnya 30 pelajar IPT dan remaja tempatan untuk menyertai kumpulan berkenaan baru-baru ini.
Perkara itu terbongkar selepas polis menahan 10 individu warga asing dipercayai saki baki anggota JI sejak awal tahun ini. Semua mereka sudah dihantar pulang ke negara asal.
Rais buta mana harta negara & Umno
26 min yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan