Rabu, 16 Jun 2010

Param dipilih pantau siasatan konflik Israel-Palestin

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Pakar undang-undang dan hak asasi manusia terkemuka Datuk Param Cumaraswamy dinamakan sebagai anggot jawatankuasa bebas bagi memantau siasatan konflik Israel dan Palestin mengenai pelanggaran serius hak kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, yang dilaporkan Misi Mencari Kebenaran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Konflik Gaza.

Dua lagi yang dilantik ialah Profesor Christian Tomuschat (Pengerusi), Profesor Emeritus di Humboldt University Berlin dan Hakim Mary McGowan Davis, yang berpengalaman luas dalam bidang hak asasi manusia antarabangsa dan keadilan peralihan.

Pengumuman menganggotai jawatankuasa itu yang diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB dibuat semalam oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Navi Pillay.

Misi Mencari Kebenaran PBB diketuai Hakim Richard Goldstone, bekas hakim Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan dan bekas Pendakwa raya Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) bagi bekas negara Yugoslavia dan Rwanda.

Pada 3 April tahun lepas, presiden Majlis Hak Asasi Manusia mewujudkan misi itu berhubung Konflik Gaza dengan mandat untuk menyiasat semua pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang mungkin dilakukan pada bila-bila masa dalam konteks operasi ketenteraan di Gaza sepanjang tempoh 27 Dis 2008 hingga 18 Jan tahun lalu, sama ada sebelum, ketika atau selepas.

Menurut laman web Hak Asasi Manusia PBB, ketiga-tiga anggota jawatankuasa itu diwujudkan oleh Resolusi 13/9 Majlis Hak Asasi Manusia, diikuti resolusi 64/10 dan 64/254 Perhimpunan Agung, yang menggesa siasatan dilakukan.

Jawatankuasa itu diberi mandat memantau dan menilai mana-mana prosiding domestik, perundangan atau lain-lain yang diambil oleh kerajaan Israel dan Palestin, termasuk kebebasan, keberkesanan dan ketulenan siasatan serta pematuhan berdasarkan standard antarabangsa.

“Jawatankuasa itu akan menumpukan kepada keperluan akauntabiliti terhadap semua pelanggaran kemanusiaan dan undang-undang hak asasi manusia dalam konflik Gaza, bagi mencegah terlepas daripada hukuman, memastikan keadilan, mencegah keganasan dan menggalakkan keamanan,” kata Pillay.

“Ketiga-tiga pakar ini sesuai bagi memenuhi mandat jawatankuasa, dan saya ingin mengambil peluang ini untuk menggesa semua pihak berkenaan supaya bekerja sama sepenuhnya dengan jawatankuasa ini,” katanya.

Jawatankuasa pakar bebas itu akan bertemu tidak lama lagi bagi membincangkan pelan tindakan dan mewujudkan hubungan dengan pihak berkenaan yang mempunyai kaitan dengan aktivitinya pada masa depan.

Param berkhidmat dari 1994 hingga 2003 sebagai Pelapor Khas untuk Suruhanjaya PBB mengenai Hak Asasi Manusia berkaitan kebebasan hakim dan peguam.

Beliau merupakan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia dan menulis pelbagai artikel mengenai hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan dan peraturan undang-undang dan kebebasan kehakiman.

0 ulasan: