| Susan Loone |
![]() |
"Masalah utama dalam perkara ini ialah proses rayuan pengampunan Yong telah ditolak ketika ia difailkan pada Disember tahun lalu," kata Ravi yang berjaya menunda hukuman kepada 4 Disember untuk Yong.
Ravi turut menuntut perhatian segera daripada kerajaan Malaysia supaya memfailkan satu aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung hukuman ke atas Yong.
"Jika tidak, ICJ untuk apa?" katanya ketika dihubungi di Singapura.
Kata Ravi, jika hukuman yang sama dikenakan ke atas rakyat Amerika, Australia atau Eropah, kerajaan negara berkenaan akan membuat tindakan sewajarnya, seperti amalan mereka sebelum ini.
Ravi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mohd Nazri pada Isnin lalu yang mendakwa bahawa beliau tidak mengetahui mengenai kes tersebut.
Mohd Nazri juga mendakwa itulah kali pertama beliau mengetahui mengenai kes membabitkan Yong.
Selepas diberi butiran mengenai kes tersebut, Mohd Nazri bagaimanapun berkata, Yong akan digantung di Singapura dan Malaysia tidak akan campur tangan dalam proses undang-undang negara jirannya (Singapura).
"Menteri itu (Nazri) telah menghantar isyarat yang bahaya kepada kerajaan Singapura untuk mengambil tindakan," tegas Ravi.
Ravi juga menyeru kepada menteri tersebut supaya menyemak butir-butir dalam sidang akhbarnya yang disebut pada 10 Jun di pejabat Majlis Peguam, Kuala Lumpur.
"Sekurang-kurangnya selidik dengan teliti sidang akhbar saya (sebelum ini) yang mana saya telah menyenaraikan masalah perundangan dalam kes ini," katanya.
"(Nazri) sekurang-kurangnya harus menjemput peguam Yong untuk mengetahui keadaaan mengenai pemuda Malaysia yang miskin ini kerana dia akan digantung secara tidak adil," katanya.
Tetapi Nazri bukanlah satu-satunya menteri yang telah tidak mengendahkan kes Yong, yang baru berumur 19 tahun ketika ditahan di Singapura kerana mengedar heroin seberat 47gram di republik itu.
Yong gagal mendapatkan pengampunan apabila menteri undang-undang Singapura memberikan ulasan yang prejudis terhadap kes tersebut.
Kenyataan tersebut mengakibatkan permohonan Yong di tolak oleh Presiden Singapura SR Nathan.
Ravi menegaskan bahawa selepas permohonan itu ditolak, kerajaan Malaysia masih boleh membuat aduan pada ICJ dan mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman.
“(Kerajaan Malaysia) boleh melambatkan pelaksaan terhadap Yong sehingga ICJ membuat keputusan samada dia dihukum secara tidak adil di bawah Perlembagaan Singapura dan undang-undang tempatan lain.”
Ravi berkata, isunya bukanlah sama ada rakyat Malaysia atau Singapura menghadapi hukuman mati mandatori yang sama.
"Ini merupakan harapan atau bantuan terakhir Yong, tetapi ruang pengampunan sudah tertutup baginya," tambahnya.


0 ulasan:
Catat Ulasan