Khamis, 17 Jun 2010

Pelajar lelaki dipenjara dua tahun kebumi mayat bayi

SINAR HARIAN ONLINE

MELAKA - Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi dipenjara dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan k elahiran dan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkan teman wanitanya, di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini, bulan lepas.

Teman wanitanya yang juga pelajar berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan sama, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, selama dua tahun.

Remaja perempuan yang merupakan pesalah juvana, juga diperintah melapor diri di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali dalam tempoh dua tahun, mesti berada di rumah selewat-lewatnya jam 6 petang setiap hari bagi tempoh dua tahun dan mengikuti bangkel interaktif anjuran JKM.

Pelajar perempuan itu dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan berkenaan antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil, tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

0 ulasan: